Gunakan ciri satelit pada Apple Watch Ultra 3
Pada Apple Watch Ultra 3, anda boleh bersambung ke satelit untuk menghantar teks kepada perkhidmatan kecemasan, menghantar mesej kepada rakan dan keluarga, serta berkongsi lokasi anda—semua semasa anda berada di luar grid tanpa liputan selular dan Wi-Fi. Cari ikon satelit di bahagian atas skrin, yang menunjukkan ketersediaan ciri satelit di lokasi anda.
Nota: Ciri satelit tidak tersedia di semua negara dan rantau, serta tidak ditawarkan pada model Apple Watch Ultra 3 yang dijual di negara dan rantau tertentu. Ciri satelit percuma selama 2 tahun selepas pengaktifan Apple Watch Ultra 3. SOS Kecemasan melalui satelit disertakan dengan pembelian Apple Watch Ultra dan tidak memerlukan pelan pembawa aktif. Mesej dan perkongsian lokasi melalui satelit memerlukan pelan pembawa aktif. Untuk mendapatkan butiran ketersediaan, lihat artikel Sokongan Apple ini.
Sambungan dan masa respons mungkin berbeza mengikut lokasi, keadaan persekitaran dan faktor lain. Ketersambungan Wi-Fi, selular, Bluetooth mungkin terjejas apabila disambungkan ke satelit. Ciri satelit tidak tersedia pada Apple Watch Ultra 3 jika iPhone anda berada berdekatan dan dalam mod Pesawat.
Bersambung ke SOS Kecemasan melalui satelit
Selepas anda menyediakan SOS Kecemasan melalui satelit pada Apple Watch Ultra 3, anda boleh menghubungi perkhidmatan kecemasan walaupun apabila anda berada di luar liputan selular dan Wi-Fi.

Pakai Apple Watch Ultra 3 secara semula jadi pada pergelangan tangan anda, kemudian pastikan ia mempunyai garis pandangan jelas ke langit. Jika anda di bawah dedaun lebat atau dikelilingi oleh halangan lain, atau dalam bangunan, anda mungkin tidak dapat bersambung ke satelit.
Cuba buat panggilan ke nombor kecemasan tempatan anda (seperti 911, 112 atau 999) walaupun jika anda berada di luar liputan selular dan Wi-Fi.
Jika rangkaian selular pembawa anda tidak tersedia, Apple Watch Ultra 3 memaparkan ikon satelit dan mencuba menghalakan sebarang panggilan kecemasan menerusi rangkaian lain, jika tersedia.
Anda juga boleh pergi ke app Mesej
, kemudian hantarkan teks ke nombor kecemasan tempatan anda (seperti 911, 112 atau 999).
Jika panggilan tidak dapat dilakukan atau teks tidak dapat dihantar, ketik Mesej Kecemasan melalui Satelit.
Nota: Apabila di luar grid, ciri satelit tidak tersedia pada Apple Watch Ultra 3 jika iPhone anda berada berdekatan dan dalam mod Pesawat.
Ketik Laporkan Kecemasan dan ikuti arahan atas skrin, yang menyertakan soal selidik kecemasan.
Selepas anda melengkapkan soal selidik, Apple Watch Ultra 3 memulakan perbualan teks dengan berkongsi maklumat penting termasuk ID Perubatan dan butiran kenalan kecemasan anda (jika anda telah menyediakannya). Ia juga berkongsi jawapan anda kepada soal selidik kecemasan, lokasi anda (termasuk ketinggian) dan paras bateri Apple Watch Ultra 3 anda. Anda juga boleh memilih untuk berkongsi maklumat yang anda hantar ke perkhidmatan kecemasan dengan kenalan kecemasan anda.
Penting: Jika sesi SOS Kecemasan melalui satelit telah bermula dan anda tidak memerlukan perkhidmatan kecemasan, jangan putuskan sesi satelit. Bertukar mesej dengan penindak untuk memaklumi mereka bahawa anda tidak memerlukan bantuan.
Perkhidmatan didayakan satelit lain mungkin juga tersedia, termasuk Mesej melalui satelit dan perkongsian lokasi melalui satelit.
Hantar dan terima mesej melalui satelit
Selepas anda menyediakan Mesej melalui satelit pada Apple Watch Ultra 3, anda boleh berbalas teks, Tapback dan emoji melalui iMessage dan SMS* dengan rakan dan keluarga walaupun semasa anda berada di luar liputan selular dan Wi-Fi. Mesej disulitkan hujung ke hujung sebelum mesej dihantar.
Nota: Mesej melalui satelit direka bentuk untuk komunikasi kasual dengan keluarga dan rakan, bukan untuk situasi kecemasan. Untuk berhubung dengan perkhidmatan kecemasan, gunakan Bersambung ke SOS Kecemasan melalui satelit.
*Untuk menghantar dan menerima SMS melalui satelit melalui Apple Watch Ultra 3, pastikan iPhone berpasangan anda disambungkan ke rangkaian selular atau Wi-Fi.
Pakai Apple Watch Ultra 3 secara semula jadi pada pergelangan tangan anda, kemudian pastikan ia mempunyai garis pandangan jelas ke langit. Jika anda di bawah dedaun lebat atau dikelilingi oleh halangan lain, anda mungkin tidak dapat bersambung ke satelit.
Pada muka jam atau dalam Pusat Kawalan, ketik ikon satelit, kemudian ketik Mesej.
Anda juga boleh pergi ke app Mesej
. Jika anda melihat isyarat bahawa anda berada di luar liputan selular dan Wi-Fi, ketik Gunakan Mesej melalui Satelit.
Ikut arahan untuk bersambung ke satelit sambil kekal sedar akan persekitaran anda. Anda mungkin diarahkan untuk melaraskan kedudukan anda.
Masukkan mesej anda, kemudian ketik Hantar.
Penting: Ia mungkin mengambil masa beberapa minit untuk menghantar mesej anda melalui satelit; teruskan mengikuti arahan atas skrin sehingga mesej dihantar.
Hantar lokasi anda melalui satelit
Selepas anda menyediakan perkongsian lokasi melalui satelit pada Apple Watch Ultra 3, anda boleh menghantar lokasi anda walaupun semasa anda berada di luar liputan selular dan Wi-Fi.
Pakai Apple Watch Ultra 3 secara semula jadi pada pergelangan tangan anda, kemudian pastikan ia mempunyai garis pandangan jelas ke langit. Jika anda di bawah dedaun lebat atau dikelilingi oleh halangan lain, anda mungkin tidak dapat bersambung ke satelit.
Pada muka jam atau dalam Pusat Kawalan, ketik ikon satelit, kemudian ketik Hantar Lokasi.
Anda juga boleh pergi ke app Cari Orang
.
Ketik Kemas Kini Lokasi (hanya tersedia apabila anda di luar liputan selular dan Wi-Fi).
Ikut arahan untuk bersambung ke satelit sambil kekal sedar akan persekitaran anda. Anda mungkin diarahkan untuk melaraskan kedudukan anda.
Penting: Ia mungkin mengambil masa beberapa minit untuk menghantar lokasi anda melalui satelit; teruskan mengikuti arahan atas skrin sehingga lokasi dihantar. Anda boleh menghantar lokasi anda sekali setiap 15 minit. Apabila anda menghantar lokasi anda melalui satelit, anda tidak melihat lokasi rakan anda dalam app Cari Orang.
Lihat lokasi rakan dihantar melalui satelit
Apabila kenalan menghantar lokasi mereka kepada anda melalui satelit, ikon satelit kelihatan bersebelahan gambar dan lokasi mereka dalam app Cari Orang . Anda boleh melihat lokasi terbaharu mereka sehingga 7 hari.