Pengenalan kepada iCloud
iCloud ialah perkhidmatan daripada Apple yang menyimpan foto, fail, nota, kata laluan dan data lain anda secara selamat dalam awan dan mengemas kini data tersebut pada semua peranti anda secara automatik. iCloud juga memudahkan perkongsian foto, fail, nota dan banyak lagi dengan rakan dan keluarga. Anda juga boleh menyandarkan iPhone, iPad atau iPod touch anda menggunakan iCloud.
iCloud mengandungi akaun e‑mel percuma dan 5 GB storan percuma untuk data anda. Untuk mendapatkan lebih banyak storan dan ciri tambahan, anda boleh melanggan iCloud+.
Disepadukan secara lancar
iCloud dibina dalam setiap peranti Apple. Untuk menyediakan iCloud, anda hanya mendaftar masuk ke peranti anda dengan Apple ID anda, kemudian pilih app yang ingin anda gunakan dengan iCloud serta ciri iCloud yang ingin anda hidupkan atau matikan. Anda boleh menyesuaikan seting ini untuk setiap peranti. Anda juga boleh mengakses maklumat yang disimpan dalam iCloud pada komputer Windows menggunakan iCloud untuk Windows dan dalam pelayar web di iCloud.com.
Ketahui cara untuk menyesuaikan seting pada setiap peranti dan cara mendaftar masuk ke iCloud.com.
Semua maklumat anda, sentiasa dikemas kini
Apabila anda menggunakan iCloud, anda boleh mengakses foto, fail, kata laluan dan data lain anda pada sebarang peranti yang anda pilih. Oleh sebab data anda disimpan dalam awan dan bukannya dalam peranti tunggal, data anda sentiasa terkini di mana sahaja.
Sebagai contoh, jika anda menghidupkan Foto iCloud pada iPhone dan Mac, anda akan melihat foto yang sama pada kedua‑dua peranti tersebut. Jika anda mengambil foto baharu atau memadamkan foto dari app Foto pada iPhone anda, perubahan tersebut akan muncul dalam Foto pada Mac anda.
Ketahui tentang pelbagai app dan ciri yang menggunakan iCloud dan cara iCloud mengemas kini maklumat.
Storan yang selamat
Data yang disimpan dalam iCloud disulitkan, dan dengan pengesahan dua faktor, akaun anda hanya boleh diakses pada peranti yang anda percayai.
Ketahui perkara yang boleh anda lakukan dengan storan iCloud.
Kongsi dengan rakan dan keluarga
Anda boleh berkongsi maklumat yang disimpan dalam iCloud dan bekerjasama dengan orang lain. Anda menentukan orang yang boleh melihat kandungan anda serta orang yang boleh membuat perubahan. Jika kolaborator melakukan edit pada kandungan, semua orang dapat melihat edit tersebut dalam masa nyata.
Ketahui cara anda boleh menggunakan iCloud untuk berkongsi dan bekerjasama.
Dapatkan lebih banyak storan dan ciri dengan iCloud+
iCloud+ ialah perkhidmatan langganan awan premium Apple yang memberi anda lebih banyak storan iCloud untuk foto dan fail anda serta ciri tambahan termasuk Geganti Peribadi, Sembunyikan E‑mel Saya dan sokongan Video Selamat HomeKit.
Ketahui ciri yang disertakan dengan iCloud+ dan cara menaik taraf.
Nota: Tidak semua ciri iCloud tersedia di semua negara atau rantau. Beberapa ciri iCloud mempunyai keperluan sistem minimum. Lihat artikel Sokongan Apple Keperluan sistem untuk iCloud.