Sediakan dan aktifkan Kawalan Suis pada iPhone
Untuk menyediakan Kawalan Suis, anda perlu menyambungkan dan menambah satu atau lebih suis, kemudian tetapkan tindakan untuk setiap suis. Anda boleh memilih gaya imbasan dan perhalusi seting lain supaya sesuai dengan keperluan anda. Selepas anda mengaktifkan Kawalan Suis, anda mungkin perlu menukar tindakan yang ditetapkan atau melaraskan semula seting. Jika anda menghadapi kesukaran untuk melaksanakan langkah ini, anda boleh mendapatkan bantuan diperibadikan di Apple Store terdekat.
Langkah 1: Sambungkan suis luaran (pilihan)
Jika anda mahu menggunakan aksesori adaptif, kayu bedik, pengawal permainan, atau peranti MFi untuk Kawalan Suis, anda perlu menyambungkannya terlebih dahulu ke iPhone dengan mengikuti arahan pengeluar. Jika suis disambungkan menggunakan Bluetooth®, anda perlu memasangkannya dengan iPhone.
Aktifkan suis.
Pergi ke Seting
> Bluetooth, aktifkan Bluetooth, ketik nama suis, kemudian ikuti arahan atas skrin.
Langkah 2: Tambah suis dan tetapkan tindakan
Anda boleh menggunakan hanya satu suis, atau anda boleh menggunakan berbilang suis untuk berbilang tindakan. Setiap suis melaksanakan tindakan yang ditetapkan, seperti memilih item atau mengalihkan kursor ke item seterusnya.
Pergi ke Seting
> Kebolehcapaian > Kawalan Suis > Suis.
Ketik Tambah Suis Baharu, kemudian pilih Luaran, Skrin, Kamera, Ketik Belakang, atau Bunyi.
Jika anda cuba menambah suis luaran tetapi tidak ditunjukkan dalam senarai, pastikan suis disambungkan ke iPhone anda seperti yang diterangkan di atas dalam Langkah 1: Sambungkan suis luaran (pilihan).
Tetapkan tindakan kepada suis.
Tindakan untuk suis bergantung pada bilangan suis yang anda miliki dan gaya imbasan yang anda pilih dalam Langkah 3: Pilih gaya imbasan, di bawah. Jika anda tidak mengetahui tindakan untuk ditetapkan, pilih Pilih Item, yang serasi dengan Pengimbasan Auto (gaya imbasan lalai). Anda boleh kembali ke seting ini kemudian untuk menukar ikon yang ditetapkan.
Petua: Tukarkan iPhone anda menjadi pengawal permainan yang menggunakan gerak isyarat yang anda telah sediakan, seperti suis (atau kaedah input alternatif) yang sama yang anda gunakan untuk menavigasi dan mengawal iPhone anda. Atau anda mungkin mahu menggunakan semula gerak isyarat Ketik Belakang anda.
Langkah 3: Pilih gaya imbasan
Secara lalai, kursor bergerak dari satu item ke item seterusnya secara automatik selepas tempoh yang ditentukan. Jika anda mengutamakan menggerakkan kursor secara manual, anda boleh memilih gaya imbasan berbeza.
Pergi ke Seting > Kebolehcapaian > Kawalan Suis > Gaya Imbasan, kemudian pilih salah satu daripada berikut:
Imbasan Auto: Kursor beralih ke item seterusnya secara automatik selepas tempoh ditetapkan. Ini ialah gaya imbasan lalai.
Jika anda menggunakan Imbasan Auto dengan hanya satu suis, pastikan tindakan Pilih Item ditetapkan ke suis.
Imbasan Manual: Apabila anda mengaktifkan suis Beralih ke Item Seterusnya anda, kursor bergerak ke item seterusnya.
Imbasan Manual memerlukan sekurang-kurangnya dua suis. Pastikan tindakan Beralih ke Item Seterusnya ditetapkan ke satu suis dan tindakan Pilih Item ditetapkan ke suis lain.
Imbasan Langkah Suis Tunggal: Apabila anda mengaktifkan suis Beralih ke Item Seterusnya, kursor beralih ke item seterusnya; jika tiada tindakan diambil dalam tempoh yang ditentukan, item semasa dipilih secara automatik.
Gaya imbasan ini memerlukan hanya satu suis. Pastikan tindakan Beralih ke Item Seterusnya ditetapkan ke suis.
Langkah 4: Perhaluskan seting Kawalan Suis
Anda boleh melaraskan kelakuan Kawalan Suis melalui berbilang cara, agar sesuai dengan keperluan dan gaya khusus anda. Contohnya, anda boleh menukar kelajuan imbasan atau membuatkan iPhone menyebut item yang diserlahkan.
Pergi ke Seting > Kebolehcapaian > Kawalan Suis, kemudian laraskan mana-mana daripada berikut:
Masa Imbasan Auto: Laraskan kelajuan imbasan item.
Jeda pada Item Pertama: Setkan pengimbasan untuk menjeda pada item pertama dalam kumpulan.
Gelung: Pilih bilangan kali untuk mengitar menerusi skrin sebelum menyembunyikan Kawalan Suis.
Ulang Pergerakan: Setkan tunda sebelum bergerak ke item sebelumnya atau seterusnya semasa suis ditekan.
Tekan Lama: Setkan sama ada tindakan berbeza berlaku apabila anda menekan dan menahan suis dan tempoh masa menunggu sebelum melakukan tindakan tersebut.
Kelakuan Ketik: Pilih kelakuan ketik dan setkan selang untuk melaksanakan tindakan suis kedua untuk menunjukkan menu Pengimbas.
Item Fokus Selepas Ketik: Pilih sama ada Kawalan Suis meneruskan mengimbas pada item yang anda ketik atau dari mula.
Tempoh Tahan: Tentukan tempoh masa yang anda perlukan untuk menekan dan menahan suis sebelum ia diterima sebagai tindakan suis.
Abaikan Ulangan: Abaikan cetusan suis berulang secara tidak sengaja.
Kesan Bunyi: Aktifkan kesan bunyi.
Pertuturan: Sebutkan item semasa item diimbas.
Item Menu: Pilih tindakan yang ditunjukkan dalam menu Pengimbas dan tertib tindakan kelihatan.
Kumpulkan Item: Kumpulkan item untuk navigasi lebih cepat.
Kursor Besar: Jadikan serlahan lebih menonjol.
Warna Kursor: Pilih warna serlahan berbeza.
Langkah 5: Aktifkan Kawalan Suis
Penting: Apabila Kawalan Suis diaktifkan, anda tidak boleh menggunakan gerak isyarat standard pada skrin sentuh untuk keluar daripada Kawalan Suis.
Pergi ke Seting > Kebolehcapaian > Kawalan Suis, kemudian aktifkan Kawalan Suis.
Petua: Anda boleh menambah Kawalan Suara ke Pintasan Kebolehcapaian, kemudian aktifkan atau nyahaktifkannya secara cepat dengan mengklik tiga kali butang sisi (pada iPhone dengan Face ID) atau butang Utama (pada model iPhone lain).