Tambah, edit dan keluarkan widget pada iPhone
![Widget Cuaca, Peringatan dan Rumah pada Skrin Utama iPhone. Widget Peringatan dan Rumah memaparkan ciri interaktif.](https://help.apple.com/assets/6758C14AEA2BBD75D7023772/6758C150890517C4260090D6/ms_MY/080772278d61467762259aad93757682.png)
Apakah widget?
Widget memberikan anda cara mudah untuk melihat maklumat semasa sekilas pandang—tajuk berita hari ini, cuaca, peringatan, paras bateri dan banyak lagi. Anda boleh melihat widget dalam Paparan Hari Ini dan menambahnya ke Skrin Utama atau Skrin Kunci anda untuk memastikan maklumat ini berada di hujung jari anda.
Anda boleh berinteraksi dengan widget pada Skrin Utama atau Skrin Kunci tanpa membuka app—anda boleh mengambil tindakan pada widget untuk Muzik, Podcast, Safari, Rumah, Kenalan dan banyak lagi. Contohnya, ketik pada widget Muzik atau Podcast untuk memainkan pilihan.
Petua: Tindanan Pintar (dengan titik di sebelahnya) ialah set widget gabungan yang menggunakan maklumat seperti masa, lokasi anda dan aktiviti untuk memaparkan widget yang paling berkaitan pada masa yang sesuai dalam hari anda secara automatik. Anda boleh menambah Tindanan Pintar daripada galeri widget ke Skrin Utama, kemudian leret ke atas dan bawah melepasinya untuk melihat widget yang dikandunginya.
Tambah widget ke Skrin Utama anda
Pergi ke halaman Skrin Utama yang anda mahu tambahkan widget, kemudian sentuh dan tahan latar belakang Skrin Utama sehingga app mula bergoyang.
Ketik Edit di bahagian atas skrin, kemudian ketik Tambah Widget untuk membuka galeri widget.
Skrol atau cari untuk mencari widget, ketik widget, kemudian leret menerusi pilihan saiz.
Saiz berbeza memaparkan maklumat yang berbeza.
Apabila anda melihat saiz yang anda mahu, ketik Tambah Widget.
Semasa app masih bergoyang, alihkan widget di tempat yang anda mahukan pada skrin, kemudian ketik Selesai.
Untuk mengetahui cara menambah widget ke Skrin Kunci anda, lihat Peribadikan Skrin Kunci baharu.
Berinteraksi dengan widget
Anda boleh melaksanakan tugas dengan mengetik widget pada Skrin Utama, Skrin Kunci atau StandBy anda. Ketik item dalam widget Peringatan untuk menyemaknya, ketik butang Main dalam widget Podcast untuk memainkan episod atau ketik widget Rumah untuk mengaktifkan cahaya ruang tamu anda—semuanya tanpa membuka app.
Edit widget pada Skrin Utama anda
Anda boleh menyesuaikan kebanyakan widget terus daripada Skrin Utama supaya widget memaparkan maklumat yang anda mahu lihat. Contohnya, untuk widget Mail, anda boleh mengetik peti mel yang ditunjukkan dalam widget, kemudian memilih peti mel berlainan supaya mesej dalam peti mel dipaparkan dalam widget. Atau anda boleh menyesuaikan Tindanan Pintar untuk memutar menerusi widget berdasarkan aktiviti anda, lokasi anda, hari dalam sehari dan seterusnya.
Sentuh dan tahan widget untuk membuka menu tindakan cepat.
Ketik Edit Widget (atau Edit Tindanan, jika ia Tindanan Pintar), kemudian pilih pilihan.
Untuk Tindanan Pintar, anda boleh mengaktifkan atau menyahaktifkan Gilir Pintar atau Cadangan Widget (di bawah widget), menyusun semula widget dengan menyeretnya dalam tindanan, menyeret widget daripada Tindanan Pintar ke Skrin Utama, atau mengeluarkan widget dengan
di penjuru kiri atasnya.
Apabila anda mengaktifkan Cadangan Widget, widget untuk app yang anda telah gunakan kelihatan secara automatik dalam Tindanan Pintar anda pada masa yang sesuai berdasarkan aktiviti lalu anda. Pilihan membolehkan anda menambahkan widget ke tindanan anda supaya ia sentiasa di situ apabila anda memerlukannya.
Ketik Selesai.
Keluarkan widget daripada Skrin Utama
Sentuh dan tahan widget untuk membuka menu tindakan cepat.
Lakukan satu daripada berikut:
Keluarkan widget: Ketik Keluarkan Widget.
Keluarkan Tindanan Pintar: Ketik Keluarkan Tindanan.
Lihat widget dalam Paparan Hari Ini
Untuk melihat widget dalam Paparan Hari Ini, leret ke kanan dari pinggir kiri Skrin Utama, kemudian skrol ke atas dan bawah.
![Widget dipaparkan dalam Paparan Hari Ini, termasuk widget Peringatan, Foto, Bateri, Kalendar, Petua dan banyak lagi.](https://help.apple.com/assets/6758C14AEA2BBD75D7023772/6758C150890517C4260090D6/ms_MY/f3c0e99edc13c97a6405d49b1b18cbdb.png)
Nota: Jika widget tidak kelihatan apabila anda meleret ke kanan pada Skrin Utama, lihat tugas seterusnya, Lihat widget dalam Paparan Hari Ini dan Cari apabila iPhone dikunci.
Lihat widget dalam Paparan Hari Ini dan Cari apabila iPhone dikunci
Pergi ke Seting
> Face ID & Kod Laluan (pada iPhone dengan Face ID) atau Touch ID & Kod Laluan (pada model iPhone lain).
Masukkan kod laluan anda.
Aktifkan Paparan Hari Ini dan Carian (di bawah Benarkan Akses Apabila Dikunci).