Tandakan peranti sebagai hilang dalam Cari pada iPhone
Gunakan app Cari untuk menandakan iPhone, iPad, iPod touch, Apple Watch, atau Mac yang hilang sebagai hilang supaya orang lain tidak boleh mengakses maklumat peribadi anda. Untuk menandakan peranti sebagai hilang, anda mesti mengaktifkan Cari [peranti] sebelum peranti hilang.

Apa yang berlaku apabila anda menandakan peranti sebagai hilang?
E-mel pengesahan dihantar ke alamat e-mel Apple ID anda.
Anda boleh memaparkan mesej tersuai pada Skrin Kunci peranti. Contohnya, anda mungkin mahu menunjukkan yang peranti tersebut hilang atau cara untuk menghubungi anda.
Peranti anda tidak memaparkan isyarat atau memainkan bunyi apabila anda menerima mesej atau pemberitahuan, atau jika sebarang penggera berbunyi. Peranti anda masih boleh menerima panggilan telefon dan panggilan FaceTime.
Apple Pay dinyahdayakan untuk peranti anda. Sebarang kad kredit atau debit yang disediakan untuk Apple Pay, kad ID pelajar dan Transit Ekspres dikeluarkan daripada peranti anda. Kad kredit, debit dan ID pelajar dikeluarkan walaupun peranti anda di luar talian. Kad Transit Ekspres dikeluarkan pada kali seterusnya peranti anda dalam talian. Lihat artikel Sokongan Apple Uruskan kad yang anda gunakan dengan Apple Pay.
Untuk iPhone, iPad, iPod touch, atau Apple Watch, anda akan melihat lokasi semasa peranti anda pada peta serta sebarang perubahan dalam lokasinya.
Tandakan peranti sebagai hilang
Jika peranti anda hilang atau dicuri, anda boleh mengaktifkan Mod Hilang pada iPhone, iPad, iPod touch, atau Apple Watch anda, atau kunci Mac anda.
Ketik Peranti, kemudian ketik nama peranti yang hilang.
Di bawah Tandakan sebagai Hilang, ketik Aktifkan.
Ikut arahan pada skrin dan ingat perkara berikut:
Kod laluan: Jika iPhone, iPad, iPod touch, atau Apple Watch anda tidak mempunyai kod laluan, anda diminta untuk mencipta kod laluan sekarang. Untuk Mac, anda mesti mencipta kod laluan angka, walaupun anda sudah menyediakan kata laluan pada Mac anda. Kod laluan ini berbeza daripada kata laluan anda dan hanya digunakan apabila anda menandakan peranti anda sebagai hilang.
Maklumat Hubungan: Jika anda diminta untuk memasukkan nombor telefon, masukkan nombor yang boleh dihubungi. Jika anda diminta memasukkan mesej, anda mungkin mahu menunjukkan yang peranti tersebut hilang atau cara untuk menghubungi anda. Nombor dan mesej muncul pada Skrin Kunci peranti.
Ketik Aktifkan (untuk iPhone, iPad, iPod touch, atau Apple Watch) atau Kunci (untuk Mac).
Apabila peranti telah ditandakan sebagai hilang, anda akan melihat Diaktifkan di bawah bahagian Tandakan sebagai Hilang. Jika peranti tidak disambungkan ke rangkaian Wi-Fi atau selular semasa anda menandakannya sebagai hilang, anda akan melihat Belum Selesai sehingga peranti berada dalam talian semula.
Tukar mesej Mod Hilang atau pemberitahuan e-mel untuk peranti yang hilang
Selepas anda menandakan iPhone, iPad, iPod touch, atau Apple Watch anda sebagai hilang, anda boleh mengemas kini maklumat hubungan anda atau seting pemberitahuan e-mel.
Ketik Peranti, kemudian ketik nama peranti yang hilang.
Di bawah Tandakan sebagai Hilang, ketik Belum Selesai atau Diaktifkan.
Lakukan mana-mana daripada berikut:
Tukar mesej Mod Hilang: Buat perubahan kepada nombor telefon atau mesej.
Dapatkan kemas kini e-mel: Aktifkan Terima Kemas Kini E-mel jika ia belum diaktifkan.
Ketik Selesai.
Nyahaktifkan Mod Hilang untuk iPhone, iPad, iPod touch, atau Apple Watch
Apabila anda menemui peranti anda yang hilang, lakukan salah satu daripada yang berikut untuk menyahaktifkan Mod Hilang:
Masukkan kod laluan anda pada peranti.
Dalam Cari, ketik nama peranti, ketik Belum Selesai atau Diaktifkan di bawah Tandakan sebagai Hilang, ketik Nyahaktifkan Tandakan sebagai Hilang, kemudian ketik Nyahaktifkan.
Buka kunci Mac
Apabila anda menemui Mac anda yang hilang, masukkan kod laluan angka pada peranti untuk membuka kuncinya (kod yang anda sediakan semasa anda menandakan Mac anda sebagai hilang).
Jika anda lupa kod laluan, anda boleh memulihkannya menggunakan Cari iPhone Saya pada iCloud.com. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat Gunakan Mod Hilang dalam Cari iPhone Saya di iCloud.com dalam Panduan Pengguna iCloud.
Jika anda kehilangan iPhone, anda boleh mengaktifkan Mod Hilang menggunakan Cari iPhone Saya pada iCloud.com.