Tukar seting keselamatan pada cakera permulaan Mac dengan Apple silicon
Mac dengan Apple silicon menggunakan ciri keselamatan canggih volum sistem ditandatangani untuk melindungi Mac anda daripada pengacauan hasad. Secara lalai, Mac anda menggunakan paras keselamatan tertinggi, dipanggil Keselamatan Penuh. Sebelum sambungan sistem legasi (juga dikenali sebagai sambungan kernel atau kext) boleh dipasang pada komputer Mac dengan Apple silicon, dasar keselamatan mesti ditukar ke Keselamatan Dikurangkan.
Jika Mac yang dimiliki oleh organisasi didaftarkan dalam pengurusan peranti mudah alih (MDM), MDM boleh mengurus sambungan kernel dan kemas kini perisian secara jauh. Pengurusan ini boleh disahkan secara automatik jika nombor siri untuk Mac diuruskan MDM kelihatan dalam Apple School Manager atau Apple Business Manager, atau Keperluan Perniagaan Apple. Jika nombor siri Mac yang diuruskan MDM tidak kelihatan di dalamnya, pentadbir MDM boleh meminta pentadbir setempat untuk menukar dasar keselamatan ke Keselamatan Dikurangkan secara manual bagi membenarkan pengurusan sambungan kernel secara jauh dan kemas kini perisian automatik.
Jika anda pentadbir Mac, anda boleh menukar tahap keselamatan yang digunakan pada cakera permulaan anda.
Pada Mac dengan Apple silicon, pilih menu Apple > Tutup.
Tekan dan tahan butang kuasa sehingga “Memuatkan pilihan permulaan” muncul.
Klik Pilihan, kemudian klik Teruskan.
Pilih cakera permulaan, kemudian klik Seterusnya.
Pilih akaun pentadbir, kemudian klik Seterusnya.
Masukkan kata laluan untuk akaun pentadbir, kemudian klik Teruskan.
Dalam app Pemulihan, pilih Utiliti > Utiliti Keselamatan Permulaan.
Pilih sistem yang anda mahu gunakan untuk mengesetkan dasar keselamatan.
Jika cakera disulitkan dengan FileVault, klik Buka Kunci, masukkan kata laluan, kemudian klik Buka Kunci.
Klik Dasar Keselamatan.
Pilih satu daripada pilihan keselamatan berikut:
Keselamatan Penuh: Memastikan hanya OS semasa anda, atau perisian sistem pengendalian berdaftar yang dipercayai oleh Apple pada masa ini, boleh dijalankan. Mod ini memerlukan sambungan rangkaian ketika pemasangan perisian.
Keselamatan Dikurangkan: Membenarkan sebarang versi perisian sistem pengendalian berdaftar yang dipercayai oleh Apple untuk dijalankan.
Jika anda memilih Keselamatan Dikurangkan, pilih mana-mana daripada pilihan berikut, jika perlu:
Benarkan pengurusan pengguna sambungan kernel daripada pembangun yang dikenali: Membenarkan pemasangan perisian yang menggunakan sambungan kernel legasi.
Benarkan pengurusan jauh sambungan kernel dan kemas kini perisian automatik: Membenarkan pengurusan jauh sambungan kernel legasi dan kemas kini perisian menggunakan penyelesaian pengurusan peranti mudah alih (MDM).
Klik OK.
Jika anda menukar keselamatan, klik menu timbul Pengguna, pilih akaun pentadbir, masukkan kata laluan untuk akaun, kemudian klik OK.
Pilih menu Apple > Mula Semula.
Anda mesti memulakan semula Mac anda untuk perubahan berkuat kuasa.
Nota: Jika anda menghadapi masalah memulakan Mac dengan Apple silicon anda dan anda percaya masalah mungkin berkaitan dengan memasang perisian pihak ketiga, anda boleh cuba memulakan Mac anda dalam mod selamat.