Lihat atau tukar seting selular pada iPhone
Aktifkan atau nyahaktifkan data selular dan perayauan, setkan app dan perkhidmatan yang menggunakan data selular, lihat masa panggilan dan penggunaan data selular dan setkan pilihan selular lain.
Nota: Untuk bantuan dengan perkhidmatan rangkaian selular, mel suara dan pengebilan, hubungi penyedia perkhidmatan wayarles anda.
Jika iPhone disambungkan ke Internet melalui rangkaian data selular, ikon yang mengenal pasti rangkaian selular muncul dalam bar status.
Perkhidmatan LTE, 5G E, 4G dan 3G pada Rangkaian selular GSM menyokong komunikasi suara dan data serentak. Untuk semua sambungan selular yang lain, anda tidak boleh menggunakan perkhidmatan Internet apabila anda bercakap telefon melainkan iPhone turut mempunyai sambungan Wi-Fi kepada Internet. Bergantung pada sambungan rangkaian, anda mungkin tidak dapat menerima panggilan semasa iPhone memindahkan data melalui rangkaian selular—contohnya, apabila memuat turun halaman web.
Rangkaian GSM: Pada sambungan EDGE atau GPRS, panggilan masuk mungkin akan masuk terus ke panggilan suara semasa pemindahan data. Untuk panggilan masuk yang anda jawab, pemindahan data dijeda.
Rangkaian CDMA: Pada sambungan EV-DO, pemindahan data dijeda apabila anda menjawab panggilan masuk. Pada sambungan 1xRTT, panggilan masuk mungkin akan masuk terus ke mel suara semasa pemindahan data. Untuk panggilan masuk yang anda jawab, pemindahan data dijeda.
Pemindahan data diteruskan apabila anda menamatkan panggilan.
Jika Data Selular tidak aktif, semua perkhidmatan data hanya menggunakan Wi-Fi—termasuk e-mel, layari web, pemberitahuan push dan perkhidmatan lain. Jika Data Selular aktif, caj pembawa mungkin dikenakan. Contohnya, menggunakan ciri dan perkhidmatan tertentu yang memindahkan data, seperti Siri dan Mesej boleh membawa caj kepada pelan data anda.
Aktifkan atau nyahaktifkan Data Selular
Pergi ke Seting > Selular. Pilihan berikut mungkin turut tersedia:
Aktifkan atau nyahaktifkan Perayauan Suara: (CDMA) Nyahaktifkan Perayauan Suara untuk mengelakkan caj daripada penggunaan rangkaian pembawa lain. Apabila rangkaian pembawa anda tidak tersedia, iPhone tidak akan mempunyai perkhidmatan selular (data atau suara).
Aktifkan atau nyahaktifkan Perayauan Data: Perayauan Data membenarkan akses Internet melalui rangkaian data selular apabila anda berada dalam rantau yang tidak diliputi oleh rangkaian pembawa anda. Apabila anda dalam perjalanan, anda boleh menyahaktifkan Perayauan Data untuk mengelakkan daripada dikenakan caj perayauan.
Dayakan atau nyahdayakan 4G/LTE: (ketersediaan berbeza mengikut pembawa dan rantau) Menggunakan 4G atau LTE memuatkan data Internet lebih laju dalam sesetengah keadaan tetapi mungkin mengurangkan prestasi bateri. Mungkin terdapat pilihan untuk menyahaktifkan 4G/LTE atau untuk memilih Suara & Data (VoLTE) atau Data Sahaja.
Suara & Data: (sesetengah pembawa) Pilih LTE untuk memuatkan data dengan lebih laju. (Ini juga mengaktifkan VoLTE.) Pilih kelajuan lebih perlahan untuk meningkatkan hayat bateri.
Sediakan Hotspot Peribadi: Hotspot Peribadi berkongsi sambungan Internet pada iPhone dengan komputer anda dan peranti iPhone, iPad dan iPod touch lain. Lihat Kongsi sambungan Internet anda daripada iPhone dalam panduan ini.
Aktifkan atau nyahaktifkan Bantuan Wi-Fi: Jika ketersambungan Wi-Fi lemah, Bantuan Wi-Fi menggunakan data selular untuk meningkatkan isyarat.
Nota: Menggunakan data menerusi rangkaian selular mungkin dikenakan bayaran tambahan.
Setkan sama ada data selular digunakan untuk app dan perkhidmatan
Pergi ke Seting > Selular, kemudian aktifkan atau nyahaktifkan Data Selular untuk sebarang app yang boleh menggunakan data selular.
Jika seting tidak aktif, iPhone menggunakan Wi-Fi untuk perkhidmatan tersebut.
Kunci kad SIM anda
Jika peranti anda menggunakan kad SIM untuk panggilan telefon atau data selular, anda boleh mengunci kad dengan nombor identiti peribadi (PIN) untuk menghalang orang lain daripada menggunakan kad tersebut. Kemudian, setiap kali anda memulakan semula peranti anda atau mengeluarkan kad SIM, kad anda dikunci secara atutomatik dan anda diminta untuk memasukkan PIN anda. Lihat Gunakan PIN SIM untuk iPhone atau iPad anda.