Buat panggilan kecemasan pada iPhone
Sekiranya kecemasan, gunakan iPhone untuk meminta bantuan dengan cepat. Dengan SOS Kecemasan, anda boleh meminta bantuan dan memberi amaran kepada kenalan kecemasan anda dengan cepat dan mudah.
Jika anda berkongsi ID Perubatan anda, iPhone boleh menghantar maklumat perubatan anda kepada perkhidmatan kecemasan apabila anda membuat panggilan atau menghantar teks ke 911 atau menggunakan SOS Kecemasan (A.S. sahaja; iOS 13.5 atau lebih baru diperlukan).
Nota: Untuk bantuan kecemasan di A.S., anda boleh menghantar mesej teks ke 911 (tidak tersedia di semua lokasi). Lihat artikel Sokongan Apple Hantar teks ke 911 pada iPhone atau Apple Watch.
Dail nombor kecemasan apabila iPhone dikunci
Pada skrin Kod Laluan, ketik Kecemasan.
Dail nombor kecemasan (contohnya, 911 di A.S.), kemudian ketik .
Gunakan SOS Kecemasan (semua negara atau rantau kecuali India)
Pada iPhone 8 dan lebih baru: Tekan dan tahan butang sisi dan salah satu butang kelantangan. Teruskan menahan butang apabila gelangsar SOS Kecemasan muncul, sehingga iPhone memainkan bunyi amaran dan memulakan kira detik. (Untuk melangkau kira detik, seret gelangsar SOS Kecemasan.) Apabila kira detik tamat, iPhone memanggil perkhidmatan kecemasan.
Atau, anda boleh mendayakan iPhone untuk memulakan SOS Kecemasan apabila anda mengklik butang sisi lima kali. Pergi ke Seting > SOS Kecemasan, kemudian aktifkan Panggil dengan Butang Sisi.
Pada model iPhone lain: Klik butang sisi atau butang Tidur/Bangun (bergantung pada model anda) lima kali, kemudian seret gelangsar SOS Kecemasan.
Setelah panggilan kecemasan tamat, iPhone memberi amaran kepada kenalan anda yang anda membuat panggilan dan menghantar lokasi anda kepada mereka (jika tersedia).
Gunakan SOS Kecemasan (India)
Pada iPhone dengan Face ID: Klik tiga kali butang sisi. Atau, jika Pintasan Kebolehcapaian diaktifkan, tekan dan tahan butang sisi dan mana-mana butang kelantangan sehingga gelangsar muncul, kemudian seret SOS Kecemasan.
Pada iPhone dengan butang Utama: Klik tiga kali butang sisi atau butang Tidur/Bangun (bergantung pada model anda).
Secara lalai, iPhone memainkan bunyi amaran, memulakan kira detik, kemudian memanggil perkhidmatan kecemasan.
Setelah panggilan kecemasan tamat, iPhone memberi amaran kepada kenalan anda yang anda membuat panggilan dan menghantar lokasi anda kepada mereka (jika tersedia).
Tukar seting SOS Kecemasan anda
Pergi ke Seting > SOS Kecemasan.
Lakukan mana-mana daripada berikut:
Aktifkan atau nyahaktifkan Panggil Auto: Apabila Panggil Auto aktif dan anda memulakan panggilan SOS Kecemasan, iPhone memainkan bunyi amaran, memulakan kira detik, kemudian memanggil perkhidmatan kecemasan dalam rantau anda.
Aktifkan atau nyahaktifkan bunyi kira detik: Apabila Bunyi Kira Detik diaktifkan, iPhone memainkan bunyi amaran walaupun dalam mod senyap atau apabila Jangan Ganggu diaktifkan.
Urus kenalan kecemasan anda: Ketik Sediakan Kenalan Kecemasan dalam Kesihatan atau Edit Kenalan Kecemasan dalam Kesihatan. Lihat Cipta dan kongsi ID Perubatan anda dalam Kesihatan pada iPhone.
Maklumat penting tentang panggilan kecemasan pada iPhone
Anda boleh menggunakan iPhone untuk membuat panggilan kecemasan di banyak lokasi, jika perkhidmatan selular tersebut tersedia, tetapi anda tidak boleh bergantung padanya dalam kecemasan. Sesetengah rangkaian selular mungkin tidak menerima panggilan kecemasan daripada iPhone jika iPhone tidak diaktifkan, jika iPhone tidak serasi dengan atau dikonfigurasikan untuk beroperasi pada rangkaian selular yang khusus, atau (bila perlu) jika iPhone tidak mempunyai kad SIM atau kad SIM dikunci dengan PIN.
Di sesetengah negara atau rantau, maklumat lokasi anda (jika boleh ditentukan) boleh diakses oleh penyedia perkhidmatan kecemasan apabila anda membuat panggilan kecemasan.
Semak maklumat panggilan kecemasan pembawa anda untuk memahami had panggilan kecemasan melalui Wi-Fi.
Dengan CDMA, apabila panggilan kecemasan tamat, iPhone memasuki mod panggilan kecemasan untuk membenarkan panggilan kembali daripada perkhidmatan kecemasan. Semasa dalam mod ini, transmisi data dan mesej teks disekat.
Selepas membuat panggilan kecemasan, sesetengah ciri panggilan yang menyekat atau menyenyapkan panggilan masuk mungkin dinyahdayakan untuk tempoh masa yang singkat untuk membenarkan panggilan balik daripada perkhidmatan kecemasan. Ini termasuklah Jangan Ganggu, Senyapkan Pemanggil Tidak Dikenali dan Masa Skrin.
Pada iPhone dengan Dwi SIM, jika anda tidak mengaktifkan Panggilan Wi-Fi untuk talian, sebarang panggilan telefon yang masuk pada talian tersebut (termasuk panggilan daripada perkhidmatan kecemasan) pergi terus ke mel suara (jika tersedia untuk pembawa anda) apabila talian lain sedang digunakan; anda tidak akan menerima pemberitahuan panggilan tidak dijawab.
Jika anda menyediakan pemajuan panggilan bersyarat (jika tersedia daripada pembawa anda) daripada satu talian ke talian yang lain apabila talian sedang sibuk atau tiada dalam perkhidmatan, talian tidak pergi ke mel suara; hubungi pembawa anda untuk mendapatkan maklumat persediaan.