Pertimbangan tambahan semasa menggunakan Semakan Keselamatan
Gunakan Semakan Keselamatan dalam iPhone (menjalankan iOS 16 atau lebih baharu) untuk menghentikan perkongsian dan akses kepada maklumat anda, atau menyemak dan mengemas kini perkongsian dengan orang dan app individu dengan mudah.
Dalam sesetengah kes, anda juga mungkin berkongsi maklumat yang Semakan Keselamatan tidak boleh semak atau tukar—sebagai contoh, akaun dan kata laluan, perkongsian media sosial, atau iPad atau Mac yang mungkin juga mempunyai maklumat yang anda telah kongsikan. Semak yang berikut dengan berhati-hati untuk membantu anda menentukan langkah tambahan yang anda mungkin mahu ambil untuk mengurangkan jumlah maklumat yang anda kongsikan.
Alamat IP dan app
Alamat IP ialah pengecam unik yang penyedia perkhidmatan internet anda tetapkan kepada peranti yang bersambung ke internet supaya anda boleh menggunakan internet. Alamat IP tidak memberikan lokasi tepat anda, tetapi boleh memberikan idea umum lokasi anda dan membenarkan syarikat pengumpulan data untuk mengecam anda dari semasa ke semasa. App yang dipasang pada peranti anda mungkin menggunakan alamat IP anda untuk mengumpulkan maklumat tentang lokasi umum anda. Semak app yang dipasang dan padamkan app yang anda tidak gunakan atau tidak kenali.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara menyemak dan memadamkan app dipasang, lihat Padamkan kandungan yang mencurigakan daripada peranti anda.
Akaun dan kata laluan
Fikirkan tentang akaun yang anda gunakan yang mungkin mengandungi maklumat peribadi sensitif yang anda mahu lindungi, seperti perbankan, beli-belah, e-mel, media sosial, pendidikan dan lain-lain. Tukar kata laluan untuk akaun ini bagi memastikan orang lain tidak boleh mengaksesnya. Semak menerusi seting keselamatan dan privasi akaun bagi memastikan yang maklumat anda dilindungi. Untuk akaun yang anda gunakan untuk berkomunikasi, seperti e-mel, telefon dan pemesejan, semak bagi memastikan tiada perkara yang dimajukan tanpa kebenaran anda.
Media sosial
Sila ingat yang menyiarkan foto dan maklumat peribadi lain pada media sosial boleh mendedahkan butiran tentang lokasi dan kehidupan peribadi anda. Semak seting privasi anda, semak senarai hubungan dan pengikut anda dan berfikir panjang tentang perkara yang anda siarkan untuk memastikan tahap privasi yang anda perlukan.
Peranti lain yang anda miliki atau gunakan
Semak seting perkongsian dan akses untuk sebarang peranti lain yang anda gunakan bagi memastikan maklumat anda selamat. Jika orang lain bersama anda, seperti anak atau rakan, ingat yang peranti mereka juga mungkin berkongsi maklumat.
Penjejakan tidak diingini
Isyarat penjejakan tidak diingini dicipta untuk tidak menggalakkan orang daripada menggunakan AirTag dan aksesori Cari kecil lain dengan salah untuk menjejak seseorang tanpa pengetahuan mereka. Untuk menerima isyarat jika AirTag tidak diketahui atau aksesori rangkaian Cari lain bergerak dengan anda, pastikan Bluetooth®, Perkhidmatan Lokasi dan Pemberitahuan Penjejakan diaktifkan. Untuk mengaktifkan Pemberitahuan Penjejakan, buka app Cari, ketik Saya, skrol ke Sesuaikan Pemberitahuan Penjejakan, kemudian aktifkan Benarkan Pemberitahuan.
Lihat artikel Sokongan Apple Perkara untuk dilakukan jika anda menerima isyarat bahawa AirTag, aksesori rangkaian Cari, atau satu set AirPods bersama dengan anda.
Rumah dan HomeKit
Jika anda ahli rumah Apple dan memutuskan untuk mengeluarkan diri anda sendiri, sila ingat bahawa orang yang mengurus rumah masih boleh menggunakan aksesori HomeKit, seperti kamera, yang boleh mempengaruhi keselamatan peribadi anda.
Wallet Apple
Jika anda berkongsi kad atau kunci dengan seseorang dalam Wallet, orang yang anda kongsikan mungkin dapat melihat sejarah transaksi anda atau sejarah kunci pintu anda. Untuk menyemak transaksi terbaharu anda, buka app Wallet. Sila ingat bahawa butiran transaksi kewangan juga boleh dilihat menerusi akaun bank dikongsi dan kad kredit dikongsi, atau jika orang lain mempunyai akses dalam talian kepada akaun kewangan anda. Sila ingat untuk mengemas kini kata laluan anda.
Pelan selular
Jika anda sebahagian daripada pelan selular dikongsi, ahli lain pelan tersebut mungkin mempunyai akses kepada lokasi, aktiviti panggilan dan pemesejan, atau butiran pengebilan. Hubungi pembawa anda untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pelan anda dan untuk melihat langkah keselamatan tambahan yang boleh dilakukan pada akaun anda, seperti mengakses PIN atau kod keselamatan sebelum perubahan boleh dilakukan. Jika anda tidak mempunyai pelan dikongsi tetapi orang lain mempunyai akses dalam talian kepada akaun pelan selular anda, mereka juga mungkin mempunyai akses kepada lokasi, aktiviti panggilan dan pemesejan atau, butiran pengebilan. Sila ingat untuk mengemas kini kata laluan anda.
Perkongsian Keluarga
Jika anda ahli kumpulan Perkongsian Keluarga Apple, pengelola Perkongsian Keluarga mungkin dapat melihat pembelian yang anda telah buat dan melakukan perubahan kepada seting peranti anak. Untuk meninggalkan kumpulan keluarga, pergi ke Seting, ketik nama anda dan buka seting Perkongsian Keluarga. Akaun kanak-kanak tidak boleh dikeluarkan daripada kumpulan Perkongsian Keluarga; namun, ia boleh dialihkan ke kumpulan Perkongsian Keluarga lain atau Apple ID mereka boleh dipadamkan.
Ketahui lanjut tentang cara meninggalkan kumpulan Perkongsian Keluarga dalam langkah 1 dan 2 senarai semak Cara berhenti berkongsi lokasi iPhone atau iPad anda.
Untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang Perkongsian Keluarga, lihat Urus seting Perkongsian Keluarga.