Dapatkan pemberitahuan tentang konflik nama pengguna dalam Apple Business Manager
Dalam Apple Business Manager, anda boleh diberitahu tentang konflik nama pengguna pengesahan penyepaduan jika anda perlu memberitahu pengguna tertentu untuk mencipta maklumat nama pengguna baharu. Selepas domain berjaya disahkan dan disepadukan, Apple mencari melalui semua Apple ID sedia ada untuk mencari Apple ID yang menggunakan nama domain tertentu tersebut. Jika dijumpai, Apple Business Manager membolehkan anda memberitahu individu tersebut—dan sebarang peranti yang disambungkan kepada akaun iCloud mereka—untuk mengemas kini nama pengguna Apple ID peribadi mereka supaya anda boleh menggunakannya untuk organisasi anda. Walaupun mereka mengemas kini nama pengguna mereka, mereka tidak perlu menukar kata laluan mereka dan semua pembelian serta data mereka akan terus kekal dalam akaun mereka.
Sebagai contoh, organisasi anda telah mendaftarkan domain @theacmeinc.com beberapa tahun yang lalu dan menyediakan alamat e‑mel untuk semua penggunanya. Amy Frost memutuskan untuk menggunakan alamat e‑mel “afrost@theacmeinc.com” yang ditugaskan kepadanya sebagai Apple ID peribadinya.
Walaupun Amy tidak lagi bekerja untuk organisasi yang mendaftarkan theacmeinc.com, dia masih mempunyai Apple ID peribadi dengan nama domain tersebut. Oleh sebab anda menyediakan pengesahan penyepaduan untuk domain bernama @theacmeinc.com, Amy mesti menukar nama pengguna Apple ID peribadinya supaya anda boleh mencipta Apple ID Terurus afrost@theacmeinc.com jika anda mahu.
Cara Apple memberitahu pengguna tentang konflik Apple ID mereka
Apple akan mengenal pasti pengguna yang Apple ID peribadi mereka mengandungi nama domain yang telah anda daftarkan. Pengguna tersebut menerima mesej mel dan pemberitahuan memberitahu bahawa mereka mesti menamakan semula Apple ID peribadi mereka. Jika mereka belum menamakan semula Apple ID peribadi mereka, mereka akan berterusan menerima mesej pemberitahuan dan mel, dengan mesej terakhir pada hari ke‑60. Selepas 60 hari, Apple ID peribadi pengguna akan dinamakan semula secara automatik kepada nama pengguna sementara, serta nama pengguna asal akan dikeluarkan dan dituntut oleh organisasi anda.
Dapatkan pemberitahuan tentang konflik nama pengguna pengesahan penyepaduan
Dalam Apple Business Manager , daftar masuk dengan pengguna yang mempunyai peranan Pentadbir atau Pengurus Individu.
Ketik Aktiviti dalam bar sisi, kemudian cari aktiviti yang bernama “X Konflik ditemui”, dengan X sebagai bilangan konflik.
Ketik aktiviti, kemudian semak domain yang digunakan oleh Apple ID ini.
Ketik Keutamaan untuk pergi ke bahagian Akaun di bawah Keutamaan, kemudian ketik Edit di sebelah Domain.
Cari domain yang mengandungi konflik, kemudian ketik “X Konflik Nama Pengguna”, dengan X sebagai bilangan konflik.
AMARAN: Harap maklum bahawa penghantaran pemberitahuan akan mempengaruhi semua pengguna di seluruh domain yang anda sepadukan. Anda harus berbincang dengan pentadbir IT anda sebelum memulakan proses penyepaduan.
Ketik Teruskan, ketik Hantar Pemberitahuan, kemudian ketik OK.
Satu mesej mel—dan satu pemberitahuan kepada mana‑mana peranti yang disambungkan kepada akaun iCloud mereka—dihantar, memberitahu setiap pengguna dengan konflik nama pengguna bahawa mereka mesti menukar Apple ID peribadi mereka. Pemberitahuan mungkin serta‑merta atau mungkin mengambil sedikit masa.
Anda boleh melihat proses menghantar mesej e‑mel kepada pengguna dengan konflik nama pengguna dalam bahagian Aktiviti Apple Business Manager tetapi anda tidak boleh melihat Apple ID peribadi sebenar mereka.