
Pengenalan kepada Apple School Manager
Apple School Manager ialah portal berasaskan web yang ringkas untuk pentadbir IT yang berfungsi dengan perkhidmatan pengurusan peranti luaran anda supaya anda boleh membeli kandungan secara pukal dengan mudah, sama ada organisasi anda menggunakan iPhone, iPad, Mac, Apple TV, Apple Watch atau Apple Vision Pro.
Untuk mengetahui sama ada Apple School Manager tersedia di negara atau rantau anda, lihat artikel Sokongan Apple Ketersediaan program Apple dan kaedah pembayaran untuk pendidikan dan perniagaan.
Apple School Manager menawarkan ciri berikut:
Pendaftaran Peranti Automatik
Dengan Apple School Manager, anda boleh mengautomasikan pendaftaran perkhidmatan pengurusan peranti dan memudahkan persediaan peranti awal tanpa perlu menyentuh atau menyediakan peranti secara fizikal sebelum pengguna menerima peranti. Anda boleh mendaftarkan peranti secara automatik dalam penyelesaian perkhidmatan pengurusan peranti pilihan anda selagi anda menambahkan peranti pada organisasi anda pada masa pembelian—daripada Apple, Penjual Semula Berdaftar Apple, pembawa selular berdaftar atau melalui Apple Configurator.
Beli app dan buku
Apple School Manager berfungsi dengan penyelesaian perkhidmatan pengurusan peranti anda, membolehkan organisasi anda membeli kandungan (seperti app dan buku) secara pukal, menugaskan item tersebut kepada peranti atau pengguna, dan kemudian memasang dan mengemas kini kandungan tersebut secara wayarles, walaupun App Store dilumpuhkan. Anda mengekalkan pemilikan dan kawalan penuh ke atas app yang anda beli. Anda juga boleh membatalkan dan menugaskan semula app kepada peranti dan pengguna yang berbeza—di mana-mana negara app tersebut tersedia di App Store.
Integrasikan dengan Sistem Maklumat Pelajar (SIS) anda
Supaya anda boleh mencipta akaun dengan cepat dengan jadual dan kelas sekolah, Apple School Manager juga berintegrasi dengan persekitaran anda yang sedia ada. Anda boleh menyepadukan dengan SIS anda sama ada secara langsung atau menggunakan Protokol Pindah Fail Selamat (SFTP). Lihat Integrasikan Apple School Manager dengan Sistem Maklumat Pelajar (SIS) anda dan Muat naik data Sistem Maklumat Pelajar.
Akaun Apple Terurus
Akaun Apple Terurus berfungsi seperti Akaun Apple tetapi direka khusus untuk dimiliki dan diurus oleh sesebuah organisasi bagi meningkatkan produktiviti pengajar dan pelajar serta menyediakan perkhidmatan yang mungkin diperlukan oleh pengguna. Akaun ini berasingan daripada Akaun Apple peribadi (tidak terurus) yang dicipta oleh pengguna untuk diri mereka. Hal ini membantu untuk memastikan pengasingan data organisasi daripada data peribadi dengan kawalan pengurusan yang kukuh.
Hal ini juga termasuk pentadbiran berdasarkan peranan dan—dalam keadaan tertentu—reset kata laluan. Pengguna boleh mengakses iCloud dan kerjasama dengan iWork, Notes dan Peringatan—dan pengguna dengan peranan Pentadbir, Pengurus, Kakitangan dan Pengajar boleh mendaftar masuk ke portal web Apple School Manager. Akaun ini juga membolehkan pengguna dengan peranan Pelajar dan Pengajar menggunakan, contohnya, app Classroom dan app Schoolwork.
Untuk maklumat lanjut, lihat Gunakan Akaun Apple Terurus.
Langkah untuk pengerahan
Apple School Manager merupakan elemen utama pengerahan peranti moden untuk institusi pendidikan. Lihat Panduan Pengerahan Apple untuk Pendidikan untuk mengetahui lebih lanjut tentang langkah pengerahan peranti Apple dengan berjaya dalam persekitaran pembelajaran anda untuk kedua‑dua pengerahan satu dengan satu dan dikongsi.
Pensijilan
Untuk membantu anda menangani sebarang kewajipan kawal selia dan kontrak, Apple mengekalkan pensijilan dengan mematuhi piawaian ISO/IEC 27001 dan 27018. Pensijilan ini menyediakan para pelanggan kami dengan pengakusaksian bebas terhadap amalan Keselamatan dan Privasi Maklumat Apple untuk sistem dalam skop. Lihat Perkhidmatan Apple yang diliputi oleh ISO/IEC 27001 dan ISO/IEC 27018 dalam Pensijilan Platform Apple.