Sulitkan data Mac dengan FileVault
Anda boleh menggunakan FileVault untuk menyulitkan maklumat pada Mac anda. FileVault mengekod data pada cakera permulaan anda supaya pengguna yang tidak diizinkan tidak boleh mengakses maklumat anda. Lihat Bagaimana penyulitan FileVault berfungsi?
Nota: Jika anda mempunyai iMac Pro atau model Mac lain dengan cip T2 Apple, data pada pemacu anda telah disulitkan secara automatik. Walau bagaimanapun, mengaktifkan FileVault memberikan perlindungan lanjutan dengan memerlukan kata laluan log masuk anda untuk nyahsulitkan data anda.
Untuk menyediakan FileVault, anda mestilah menjadi pentadbir. Apabila anda aktifkan FileVault, anda pilih bagaimana anda mahu buka kunci cakera permulaan anda jika anda terlupa kata laluan: menggunakan akaun dan kata laluan iCloud anda, atau menggunakan kunci pemulihan yang direka untuk anda. Jika anda memilih kunci pemulihan, simpan salinan kunci di tempat lain selain cakera permulaan anda yang disulitkan. Jika anda menulis kunci itu, pastikan untuk menyalin dengan tepat huruf dan nombor yang ditunjukkan dan simpannya di tempat yang selamat yang anda akan ingat—tetapi bukan di lokasi fizikal yang sama seperti Mac anda, di mana ia boleh dijumpai. Jika Mac anda berada di tempat perniagaan atau sekolah, institusi anda juga boleh menyediakan kunci pemulihan untuk membuka kuncinya.
AMARAN: Jangan lupa kekunci pemulihan anda. Jika anda mengaktifkan FileVault dan kemudian terlupa kata laluan log masuk dan tidak boleh meresetnya dan anda juga terlupa kunci pemulihan, anda tidak akan dapat log masuk dan fail dan seting anda akan hilang buat selama-lamanya.
Penyulitan FileVault tidak boleh digunakan dengan sesetengah konfigurasi cakera sangat dipetakkan, seperti set cakera RAID.
Penting: Selepas anda mengaktifkan FileVault dan penyulitan bermula, anda tidak boleh nyahaktifkan FileVault sehingga penyulitan asal selesai. Penyulitan mengambil masa yang lama, bergantung pada jumlah data disimpan pada komputer anda, tetapi anda dapat terus menggunakan komputer anda seperti biasa. Setelah proses penyulitan selesai, anda dapat nyahaktifkan FileVault. Jika anda mempunyai iMac Pro atau model Mac lain dengan cip T2 Apple, data pada pemacu anda telah disulitkan secara automatik, jadi mengaktifkan FileVault tidak akan mengambil jumlah masa yang sama.
Pada Mac anda, pilih menu Apple > Keutamaan Sistem, klik Keselamatan & Privasi, kemudian klik FileVault.
Klik ikon kunci untuk membuka kuncinya, kemudian masukkan nama dan kata laluan pentadbir.
Klik Aktifkan FileVault.
Pilih bagaimana untuk membuka kunci cakera anda dan reset kata laluan daftar masuk anda jika anda terlupa:
Gunakan akaun iCloud anda: Klik "Benarkan akaun iCloud saya untuk buka kunci cakera saya."
Cipta kunci pemulihan: Klik “Cipta kunci pemulihan dan jangan gunakan akaun iCloud saya.“ Tuliskan kunci pemulihan anda dan simpannya di tempat yang selamat.
Klik Teruskan.
Jika Mac anda mempunyai pengguna tambahan, maklumat mereka juga disulitkan. Pengguna membuka kunci cakera disulitkan dengan kata laluan log masuk mereka.
Jika terdapat butang Dayakan Pengguna, anda mesti memasukkan kata laluan log masuk pengguna sebelum mereka boleh membuka kunci cakera disulitkan. Klik Dayakan Pengguna, pilih pengguna, masukkan kata laluan log masuk, klik OK, kemudian klik Teruskan.
Nota: Jika anda melihat mesej amaran penyulitan telah dijedakan, Mac anda mungkin mengesan masalah yang mungkin menghalang penyulitan daripada selesai. Contohnya, jika komputer mudah alih anda tidak dipasang ke salur keluar elektrik, proses penyulitan mungkin terjeda sehingga plag kuasa disambung.