Sandarkan dan pulihkan iPhone, iPad atau iPod touch anda ke Mac anda atau iCloud
Salah satu cara terbaik untuk melindungi maklumat pada iPhone, iPad atau iPod touch daripada kerosakan atau hilang ialah dengan menyandar atau menyalin fail dan seting anda sama ada ke Mac anda atau ke iCloud. Menyandar juga berguna jika anda mendapat peranti baharu dan mahu memindahkan seting lama anda kepadanya.
Selepas anda menyandarkan peranti, anda boleh menggunakan sandaran untuk memulihkan maklumat pada peranti anda apabila diperlukan. Jika peranti anda menghadapi isu yang tidak boleh dibaiki dengan memulihkan daripada sandaran, anda juga boleh memulihkan peranti anda ke seting kilang dan kemudian memulihkan sandaran terkini untuk melihat jika ia membaiki masalah.
Sandarkan peranti anda
Sambungkan peranti anda kepada Mac anda.
Anda boleh menyambungkan peranti anda menggunakan kabel USB atau USB-C atau menggunakan sambungan Wi-Fi. Lihat Selaraskan kandungan antara Mac anda dan iPhone, iPad atau iPod touch melalui Wi-Fi.
Dalam Finder pada Mac anda, pilih peranti dalam bar sisi Finder.
Jika anda menyambungkan peranti anda ke Mac anda menggunakan kabel USB dan tidak melihat peranti dalam bar sisi Finder, lihat Jika peranti anda tidak muncul dalam bar sisi.
Klik Umum dalam bar butang.
Untuk memilih pilihan sandaran, lakukan mana-mana yang berikut:
Pilih “Sandarkan data paling penting anda pada [peranti] anda ke iCloud” untuk menyimpan data sandaran dalam iCloud anda dan bukannya pada Mac anda. Peranti anda menyandarkan pada iCloud semasa sandaran automatik seterusnya.
Pilih “Sandarkan semua data pada [peranti] anda ke Mac ini” untuk menyimpan sandaran pada Mac anda. Peranti anda menyandarkan pada Mac anda semasa sandaran automatik seterusnya.
Pilih kotak semak ”Sulitkan sandaran setempat” untuk menyulitkan data sandaran anda dan melindunginya dengan kata laluan. Untuk menukar kata laluan anda kemudian, klik Tukar Kata Laluan.
Untuk memulakan sandaran peranti anda ke Mac anda secara serta-merta, klik Sandarkan Sekarang. Selepas sandaran selesai, klik Urus Sandaran untuk melihat fail sandaran.
Pulihkan peranti anda dari sandaran
Jika peranti anda menghadapi isu, anda boleh menggunakan sandaran terkini untuk memulihkan maklumat pada peranti.
Sambungkan peranti anda kepada Mac anda.
Anda boleh menyambungkan peranti anda menggunakan kabel USB atau USB-C atau menggunakan sambungan Wi-Fi. Lihat Selaraskan kandungan antara Mac anda dan iPhone, iPad atau iPod touch melalui Wi-Fi.
Dalam Finder pada Mac anda, pilih peranti dalam bar sisi Finder.
Klik Umum dalam bar butang.
Klik Pulihkan Sandaran.
Klik menu timbul Sandaran, pilih sandaran yang anda mahu pulihkan ke peranti, kemudian klik Pulihkan.
Jika sandaran anda disulitkan, anda mesti memasukkan kata laluan sebelum memulihkan fail dan seting anda.
Pulihkan peranti anda ke seting kilangnya
Anda boleh memasang perisian yang asalnya berada pada peranti anda dan memulihkannya ke seting kilangnya. Anda mungkin perlu melakukan ini jika anda menghadapi masalah dengan peranti (contohnya, ia membeku atau tergendala dengan kerap) atau jika anda bersedia untuk menjual atau memberikan peranti.
Penting: Memulihkan peranti ke seting kilangnya memadamkan semua maklumat dan seting anda. Semasa pemulihan, anda boleh memilih untuk menyandarkan peranti anda pada Mac anda. Anda boleh menggunakan sandaran ini untuk memulihkan maklumat dan seting anda pada peranti.
Nota: Anda mesti menyahaktifkan app Cari dalam seting iCloud pada peranti anda sebelum anda boleh memulihkan peranti anda.
Sambungkan peranti anda ke Mac anda menggunakan kabel USB atau USB-C.
Anda tidak boleh memulihkan peranti anda menggunakan sambungan Wi-Fi.
Dalam Finder pada Mac anda, pilih peranti dalam bar sisi Finder.
Klik Umum dalam bar butang.
Klik “Pulihkan [peranti]”, kemudian ikuti arahan atas skrin.