Pilih seting import dalam iTunes pada Mac
Apabila anda mengimport lagu ke iTunes daripada CD, lagu ditukarkan ke format fail audio yang dipanggil format pengekodan. Secara lalai, iTunes menggunakan format AAC (Pengekodan Audio Lanjutan), tetapi anda boleh menukar format dan juga seting import lain.
iTunes menyokong fail HE-AAC (juga dipanggil fail MPEG-4 AAC).
Pilih pilihan mengimport
Pilihan anda menjejaskan kualiti audio dan saiz fail lagu (lebih tinggi kualiti, lebih besar saiz fail).
Dalam app iTunes pada Mac anda, pilih iTunes > Keutamaan, klik Umum, kemudian klik Seting Import.
Pilih format pengekodan daripada menu timbul Import Menggunakan.
Pengekod AAC: Gunakan untuk kebanyakan muzik. Anda boleh mendengar lagu yang dikodkan menggunakan format ini dalam iTunes, pada iPhone dan iPad dan pada model iPod yang datang dengan penyambung dock.
Pengekod AIFF: Gunakan jika anda mahu membakar CD berkualiti tinggi dengan lagu yang anda import tanpa kehilangan kualiti audio.
Pengekod Apple Lossless: Gunakan jika anda mahu mendengar lagu yang diimport pada sistem bunyi berkualiti audiophile tanpa kehilangan kualiti audio. (Lagu yang diimport menggunakan format ini menggunakan lebih banyak ruang cakera.)
Pengekod MP3: Gunakan jika anda merancang untuk mendengar muzik dalam app lain selain daripada iTunes atau pada pemain MP3 selain daripada iPod, iPhone, atau iPad.
Pengekod WAV: Gunakan jika anda akan memainkan lagu anda pada komputer tanpa perisian MP3.
Pilih kadar bit daripada menu timbul Seting (tidak tersedia dengan Pengekod Apple Lossless). Dalam kebanyakan kes, pilihan lalai berfungsi dengan baik. Jika anda memilih Pengekod MP3, anda boleh memilih salah satu daripada yang berikut:
Kualiti Baik: Pilih untuk memuatkan lebih banyak lagu pada pemain MP3 mudah alih dengan kapasiti storan terhad.
Kualiti Tinggi: Pilih jika anda mahu memainkan muzik dalam persekitaran yang bising. Seting ini mencipta fail yang bersaiz lebih kurang 1 MB bagi setiap minit muzik.
Kualiti Lebih Tinggi: Pilih ini jika anda mahu menghasilkan CD audio anda sendiri atau mendengar muzik anda dengan speaker berkualiti tinggi.
Tersuai: Pilih untuk kawalan lebih tinggi pada saiz fail dan kualiti bunyi.
Jika perlu, pilih pilihan “Gunakan pembetulan ralat pengguna semasa membaca CD Audio”.
Gunakan seting import tersuai
Anda boleh menggunakan seting tersuai untuk lebih kawalan pada kualiti dan saiz fail yang diimport.
Nota: Anda tidak boleh memilih seting import tersuai jika anda menggunakan Pengekod Apple Lossless.
Dalam app iTunes pada Mac anda, pilih iTunes > Keutamaan, klik Umum, kemudian klik Seting Import.
Pilih format pengekodan daripada menu timbul Import Menggunakan.
Pilih Tersuai daripada menu timbul Seting.
Pilih seting yang tersedia untuk format pengekodan anda:
Kadar Bit Stereo (AAC dan MP3 sahaja): Lebih tinggi Mono atau Stereo kilobit per saat (kbps), lebih tinggi kualiti audio dan lebih besar saiz fail. Kadar bit paling biasa untuk fail MP3 stereo adalah antara 128 kbps dan 192 kbps. Kadar bit lebih rendah adalah lebih sesuai untuk fail bunyi yang mengandungi rakaman suara (berbanding muzik).
Gunakan Pengekodan Kadar Bit Boleh Ubah (VBR) (AAC dan MP3 sahaja): Seting ini mengubah bilangan bit yang digunakan untuk menyimpan muzik bergantung pada kerumitan muzik. Ini boleh membantu memastikan saiz adalah minimum.
Kadar Sampel: Bilangan kali per saat bentuk gelombang muzik dirakam secara digital. Lebih tinggi kadar sampel, lebih tinggi kualiti dan lebih besar saiz fail. Jangan pilih kadar sampel yang lebih tinggi daripada kadar yang digunakan untuk menyimpan muzik pada asalnya atau anda akan merugikan ruang. Kualiti CD, contohnya, ialah 44.100 kHz, maka memilih kadar yang lebih tinggi apabila anda mengekod dari CD adalah tidak diperlukan. Secara umum, pilihan terbaik ialah Auto, yang menggunakan kadar yang sama seperti muzik asal.
Saiz Sampel (AIFF dan WAV sahaja): Bilangan bit yang digunakan untuk menyimpan setiap sampel yang diambil semasa muzik dikodkan. Lebih tinggi saiz sampel, lebih tinggi kualiti dan lebih besar saiz fail.
Saluran: Jika anda tidak mempunyai speaker stereo atau jika fail audio anda ialah satu suara (fail mono dengan lebih kurang separuh saiz fail stereo), pilih Mono. Jika anda akan mendengar melalui fon kepala atau sistem stereo, pilih Stereo atau Auto. Auto menukarkan trek satu suara kepada fail mono dan trek stereo menjadi fail stereo.
Mod Stereo (MP3 sahaja): Dalam mod Biasa, fail MP3 anda mengandungi satu trek untuk saluran stereo kanan dan satu trek untuk kiri. Dalam banyak kes, dua saluran mengandungi maklumat yang berkaitan. Dalam mod Stereo Bersama, satu saluran membawa maklumat yang sama pada kedua-dua saluran dan satu lagi saluran membawa maklumat unik. Pada kadar bit 160 kbps dan ke bawah, ini boleh meningkatkan kualiti audio anda yang ditukarkan.
Pelarasan Pengekodan Pintar (MP3 sahaja): Pilih untuk iTunes menganalisis seting pengekodan anda dan sumber muzik.
Tapis Frekuensi Di Bawah 10 Hz (MP3 sahaja): Pilih untuk menapis frekuensi yang tidak dapat didengar, yang menghasilkan fail yang lebih kecil dan lebih cekap tanpa kehilangan kualiti yang ketara.
Gunakan Pengekodan Kecekapan Tinggi (HE) (AAC sahaja): Seting ini mengoptimumkan kualiti audio bagi fail mampatan tinggi. Pilih jika anda merancang untuk menstrim audio.
Optimumkan untuk suara (AAC sahaja): Seting ini mengubah kadar bit berdasarkan pic suara pertuturan. Pilih untuk mengimport buku audio, bukan muzik.