Selesaikan masalah menyambungkan Mac anda ke internet
Jika anda tidak boleh menyambungkan Mac anda ke internet, cuba cadangan berikut.
Tunggu sebentar, kemudian cuba lagi. ISP anda mungkin menghadapi masalah. Jika anda terus mempunyai masalah, hubungi ISP anda.
Buka keutamaan Rangkaian dan semak status perkhidmatan sambungan rangkaian anda, seperti Ethernet atau Wi-Fi. Warna hijau menunjukkan perkhidmatan adalah aktif (diaktifkan) dan bersambung. Warna kuning menunjukkan ia aktif tetapi tidak bersambung. Merah menunjukkan perkhidmatan belum disediakan.
Bandingkan seting rangkaian anda dalam keutamaan Rangkaian dengan yang disyorkan oleh ISP anda. Pastikan anda mempunyai seting terbaru yang dimasukkan dalam medan yang sesuai.
Jika anda menggunakan PPPoE, pastikan tidak ada apa-apa dimasukkan dalam medan Nama Perkhidmatan PPPoE (dalam anak tetingkap PPPoE dari keutamaan Rangkaian). Jika ISP anda memerlukan seting dalam medan itu, sahkan yang anda menggunakan maklumat yang betul.
Jika anda memahami asas perangkaian, cuba menggunakan Utiliti Rangkaian untuk menyiasat masalah itu.
Jika anda menggunakan modem telefon, cuba dail nombor modem ISP anda menggunakan telefon biasa untuk menyemak jika modem ISP menjawab dan untuk menyemak talian bagi statik atau bunyi lain yang mungkin mengganggu sambungan. Untuk memantau modem sebagaimana ia cuba untuk bersambung, aktifkan suara modem. Buka keutamaan Rangkaian dan pilih perkhidmatan modem anda dalam senarai. Klik Lanjutan, klik Modem, kemudian pilih Bunyi: Aktif.