Tukar tempat fail iTunes disimpan pada PC
Secara lalai, muzik, rancangan TV, filem, podcast dan fail lain yang muncul dalam pustaka iTunes anda disimpan dalam folder pengguna anda dalam subfolder.
Muzik\iTunes\iTunes Media
Cari fail iTunes anda
Dalam app iTunes pada PC anda, pilih pilihan (contohnya Muzik atau Filem) daripada menu timbul di sebelah kiri atas, kemudian klik Pustaka.
Lakukan salah satu daripada yang berikut:
Ketahui tempat fail disimpan: Pilih item, kemudian pilih Edit > Info [Item].
Laluan kepada fail ditunjukkan di bahagian bawah anak tetingkap Fail (bersebelahan Lokasi).
Tunjukkan fail dalam Penjelajah Fail: Pilih item, kemudian pilih Fail > Tunjukkan dalam Windows Explorer.
Tukar tempat fail yang diimport disimpan
Anda boleh menukar tempat fail media iTunes anda disimpan.
Penting: Untuk hasil terbaik, jangan tukar lokasi folder iTunes atau folder di dalamnya.
Dalam app iTunes pada PC anda, pilih Edit > Keutamaan, kemudian klik Lanjutan.
Klik Tukar, kemudian pilih lokasi baru untuk fail anda.
Mulai sekarang, lagu baru dan item lain yang anda import akan disimpan dalam lokasi baru. Lagu yang telah anda import kekal dalam lokasi semasanya.
Petua: Jika sekarang anda mahu memindahkan fail semasa anda ke lokasi baru, lihat Sepadukan fail anda dalam folder iTunes.
Untuk kembali menyimpan fail diimport dalam folder iTunes, pilih Edit > Keutamaan, klik Lanjutan, kemudian klik Reset.
Jika lagu tidak lagi muncul dalam iTunes
Jika lagu yang biasa muncul dalam iTunes sudah tiada sekarang, hal ini mungkin disebabkan oleh fail Pustaka iTunes telah dialihkan, atau lagu telah dialihkan daripada folder iTunes. Untuk membuatkan lagu anda muncul semula dalam tetingkap iTunes anda, cuba yang berikut dalam tertib ini:
Cari folder iTunes anda (secara lalai dalam folder Muzik PC anda), kemudian seretnya ke tetingkap iTunes. Anda akan melihat kembali lagu tersebut dalam pustaka anda. Jika fail Pustaka iTunes disertakan, anda juga akan melihat senarai main asal anda.
Jika ini tidak berhasil, lagu anda mungkin berada di tempat lain pada pemacu keras anda. Pergi ke Mula > Cari, kemudian cari lagu mengikut tajuk atau artis. Seret lagu (atau folder yang mengandungi lagu) pada tetingkap iTunes untuk menambah lagu ke iTunes sekali lagi.
Jika anda tidak menemui lagu yang anda cari, semak Tong Kitar Semula.
Atau, jika pustaka anda berada pada peranti luaran, pastikan peranti disambungkan ke komputer anda sebelum membuka iTunes. (Atau jika ia berada pada rangkaian, bersambung ke rangkaian terlebih dahulu).
Jika fail telah hilang secara misteri, jalankan imbasan penuh komputer anda dengan perisian anti-virus yang terkini.
Jika anda memadamkan fail Pustaka iTunes, lagu anda tidak lagi akan muncul dalam pustaka anda walaupun fail lagu masih dalam folder iTunes.