Ciri Apple ID Terurus untuk pelajar dan pengajar dalam Apple School Manager
Anda boleh menentukan dasar kata laluan untuk setiap akaun dan adalah mudah untuk menugaskan bagi setiap peranan. Akaun peranan pelajar boleh mempunyai kod laluan empat atau enam digit yang lebih ringkas. Akaun dengan semua peranan lain mesti mempunyai kata laluan yang kuat yang terdiri daripada sekurang‑kurangnya lapan aksara. Lihat Keistimewaan peranan.
Selain itu, pentadbir dan pengurus boleh menambah akaun secara manual pada bila‑bila masa, seperti apabila pengajar sementara ditambah ke sekolah anda. Anda juga boleh melihat dan mengedit maklumat akaun, seperti nama pengguna, nombor ID, tahap gred dan banyak lagi. Bergantung pada peranan anda, anda juga boleh mereset kata laluan Apple ID Terurus pengguna, menghantar kod pengesahan supaya mereka boleh mendaftar masuk dan memadamkan, menyahaktifkan atau memulihkan akaun.
Banyak negeri dan rantau mempunyai undang‑undang yang mewajibkan sekolah untuk melindungi data pelajar dan menyekat cara penggunaannya. Apple ID Terurus direka untuk membantu prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah (atau yang setara) mematuhi keperluan privasi data pelajar. Lihat Privasi dan Keselamatan untuk Produk Apple dalam Pendidikan.
Apple ID Terurus memberikan akses kepada perkhidmatan iCloud utama berikut untuk pendidikan.
Ciri | Penerangan |
---|---|
Storan iCloud | Apple ID Terurus menerima 200 GB storan iCloud percuma. |
Perkhidmatan iCloud |
|
Perkongsian folder iCloud Drive | Pelajar dan pengajar boleh berkongsi fail dan folder dalam iCloud Drive. Secara lalai, perkongsian dihadkan untuk peserta dalam organisasi yang sama, tetapi perkongsian di luar organisasi boleh didayakan secara opsyenal dalam Apple School Manager. |
kerjasama iWork | Pelajar dan pengajar dalam organisasi yang sama boleh bekerjasama menggunakan Keynote, Numbers, Pages, Peringatan dan Nota. Secara lalai, perkongsian dihadkan untuk peserta dalam organisasi yang sama, tetapi perkongsian di luar organisasi boleh dipilih untuk didayakan dalam Apple School Manager. |
Schoolwork | Jadual kelas yang dicipta di Apple School Manager tersedia di Schoolwork secara automatik. Pelaporan kemajuan pelajar boleh dipilih untuk didayakan di Apple School Manager. |
Classroom | Jadual kelas yang dicipta di Apple School Manager tersedia di Classroom secara automatik. |
Reset kata laluan organisasi | Dengan menggunakan app Classroom, pengajar boleh mereset kata laluan Apple ID Terurus pelajar tanpa melibatkan jabatan IT mereka. |
FaceTime dan iMessage | FaceTime dan iMessage dilumpuhkan secara lalai tetapi boleh dipilih untuk didayakan di Apple School Manager mengikut peranan. |
Kerumitan kata laluan Apple ID Terurus
Apabila anda menambah pengguna ke Apple School Manager, anda mengesetkan kerumitan kata laluan untuk pengguna tersebut. Tahap kerumitan tersebut menentukan Skrin Kunci yang akan muncul apabila pengguna mendaftar masuk dengan iPad Yang Dikongsi. Kod laluan empat atau enam digit hanya menunjukkan digit pada skrin. Kata laluan rumit menunjukkan papan kekunci penuh. Apabila pengguna mendaftar masuk dengan Apple ID Terurus dan kata laluan awal mereka, mereka akan digesa untuk mengubah kata laluan dengan menggunakan tahap kerumitan yang anda telah setkan dalam Apple School Manager.
Jika anda menambah Pengurus Profil sebagai satu daripada pelayan pengurusan peranti mudah alih (MDM) anda ke Apple School Manager, anda mempunyai pilihan untuk menggabungkan mana‑mana pengguna dalam Apple School Manager ke Profil Pengurus. Apabila anda melakukan perkara ini, pengguna tersebut muncul dalam senarai pengguna Pengurus Profil. Selepas mereka muncul, anda boleh melihat jenis kata laluanApple ID Terurus mereka di tab Perihal. Lihat Gabung akaun Apple School Manager dalam Panduan Pengguna Pelayan macOS.
Penting: Jika anda mengesetkan tingkah laku Skrin Kunci kepada kod laluan empat atau enam digit dan seting Apple School Manager untuk pengguna tersebut disetkan kepada kata laluan yang rumit, pengguna itu mesti memasukkan Apple ID Terurus dan kata laluan mereka secara manual.
Periksa Apple ID Terurus
Organisasi boleh mematuhi peraturan undang‑undang dan privasi dengan menggunakan pemeriksaan Apple ID Terurus. Akaun pentadbir, pengurus dan pengajar boleh menerima keistimewaan pemeriksaan untuk akaun tertentu. Pemeriksa boleh memantau hanya akaun yang di bawah mereka dalam hierarki sekolah. Sebagai contoh, pengajar boleh memantau pelajar dan pentadbir boleh memeriksa pengurus, pengajar dan pelajar.
Untuk memeriksa akaun, pengguna yang dibenarkan mesti mencipta kelayakan pemeriksaan khas dalam Apple School Manager untuk Apple ID Terurus tertentu. Kelayakan ini hanya boleh digunakan untuk mengakses Apple ID Terurus dan ia luput selepas 7 hari. Dalam tempoh itu, pemeriksa boleh mengakses kandungan pengguna yang tersimpan dalam iCloud Drive atau dalam app didayakan CloudKit. Setiap permintaan akses dilog dalam Apple School Manager. Log menunjukkan nama pemeriksa, Apple ID Terurus yang berkenaan, masa permintaan dan sama ada pemeriksaan dilakukan atau tidak. Semua pengguna dengan keistimewaan pemeriksaan boleh mencari log ini, yang tidak menggalakkan penyalahgunaan pemeriksaan.
Lihat Periksa akaun pengguna.