Cari dan main permainan dalam Apple Arcade pada Apple TV
Selepas anda melanggan dan mendaftar masuk dengan Apple ID, anda boleh mula bermain permainan serta-merta.
Layari atau cari di app Arcade
Buka app Arcade pada Apple TV.
Lakukan salah satu daripada yang berikut:
Layari: Navigasi ke bawah untuk melihat kandungan yang disyorkan—termasuk koleksi yang dipilih sendiri oleh pakar, serta kategori berdedikasi berdasarkan sejarah permainan anda. Navigasi ke baris kategori (contohnya Permainan Arcade untuk Anda), kemudian navigasi ke kanan untuk melihat kandungan yang tersedia dalam kategori tersebut.
Cari: Pilih butang Cari di penjuru kanan atas, kemudian masukkan istilah carian untuk mencari app mengikut nama.
Pilih item untuk melihat perihalan penilaiannya, pilihan tersedia dan maklumat lain.
Muat turun dan main permainan
Nota: Untuk meningkatkan permainan, kebanyakan permainan dalam Apple Arcade memerlukan pengawal permainan atau aksesori Bluetooth® pihak ketiga yang lain, dijual berasingan. Keperluan pengawal permainan diberikan dalam halaman produk app pada App Store.
Anda boleh menggunakan Sony PlayStation DualShock 4, PlayStation DualSense, Microsoft Xbox Wireless Controller dengan Bluetooth, Xbox Elite Wireless Controller Series 2, Xbox Adaptive Controllers dan pengawal permainan serasi MFi untuk bermain permainan. Sesetengah permainan juga menyokong Siri Remote (generasi pertama).
Sebelum anda mula bermain, pastikan pengawal permainan anda disambungkan ke Apple TV.
Cari permainan yang anda mahu main dalam app Arcade , kemudian pilih permainan.
Jika anda belum memuat turun permainan, pilih Dapatkan.
Semasa permainan dimuat turun atau mengemas kini, ikonnya kelihatan pada Skrin Utama dengan penunjuk kemajuan.
Pilih Main Permainan.
Jika anda menjeda permainan, anda akan menerima pemberitahuan untuk meneruskannya pada kali seterusnya anda menyambungkan pengawal permainan anda.
Semasa permainan, kawalan tambahan mungkin tersedia untuk pengawal permainan anda yang disambungkan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat artikel Sokongan Apple Sambungkan pengawal permainan wayarles ke peranti Apple anda.
Petua: Jika anda menyediakan Perkongsian Keluarga, pengelola keluarga anda boleh menyemak pembelian yang dibuat oleh ahli keluarga lain di bawah umur 18 tahun. Contohnya, jika Minta Kebenaran untuk Beli disetkan untuk ahli keluarga anda yang lebih muda (dikonfigurasi dalam Seting Sistem > Keluarga pada Mac yang menjalankan macOS Ventura atau lebih baharu; dalam Keutamaan Sistem > Perkongsian Keluarga pada Mac yang menjalankan macOS Catalina, Big Sur atau Monterey; dalam iTunes pada Mac yang menjalankan macOS Mojave atau lebih awal; atau dalam Seting > Keluarga pada peranti iOS atau iPadOS), kemudian apabila ahli keluarga tersebut cuba membuat pembelian, mesej dihantar kepada pengelola keluarga untuk meminta kelulusan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang menyediakan Perkongsian Keluarga, lihat Perkongsian Keluarga pada Apple TV.
Tukar pemain semasa permainan
Anda boleh menukar pemain semasa permainan jika setiap pemain didaftar masuk ke Apple TV. Untuk menambah pemain, ikut arahan dalam Sediakan berbilang pengguna pada Apple TV.
Pada Siri Remote, tekan dan tahan butang TV untuk membuka Pusat Kawalan, kemudian pilih tab Profil.
Pilih pengguna baharu.
Selepas menukar, permainan dimulakan semula dan pemain baharu boleh meneruskan di tempat mereka tinggalkan.
Teruskan di tempat yang anda tinggalkan dalam permainan
Buka app Arcade pada Apple TV.
Navigasi ke bawah ke Teruskan Main, kemudian pilih permainan yang anda mahukan.
Daftar masuk ke Game Center untuk menjejak skor anda
Jika anda mendaftar masuk ke Game Center pada Apple TV, anda boleh menjejak skor anda merentas peranti Apple. Skor dan papan juara kelihatan dalam setiap permainan dalam Arcade, oleh itu jika anda memulakan permainan dalam Apple TV dan kemudian bermain permainan pada iPhone anda, skor anda dikemas kini.
Pada peranti iOS atau iPadOS, anda juga boleh menghantar permintaan rakan dan mengurus profil awam anda menggunakan Game Center. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat artikel Sokongan Apple Gunakan Game Center untuk bermain dengan rakan.
Buka Seting pada Apple TV.
Pergi ke Pengguna dan Akaun > [nama akaun] > Game Center, kemudian daftar masuk dengan Apple ID anda.