
Kunci Pengaktifan pada peranti Apple
Apabila pengguna mengaktifkan Kunci Pengaktifan, sukar bagi orang lain untuk menggunakan atau menjual iPhone, iPad, Mac, atau Apple Watch jika ia hilang atau dicuri. Jika anda menggunakan perkhidmatan pengurusan peranti yang menyokong Kunci Pengaktifan, anda boleh mengurusnya untuk peranti yang dimiliki organisasi anda.

Terdapat dua jenis Kunci Pengaktifan yang tersedia:
Dipautkan organisasi: Kunci Pengaktifan dipautkan organisasi memerlukan Apple School Manager atau Apple Business Manager dan secara umumnya lebih ringkas untuk diuruskan bagi organisasi. Ia membenarkan perkhidmatan pengurusan peranti untuk mengawal sepenuhnya mengaktifkan dan menyahaktifkan Kunci Pengaktifan menerusi interaksi pihak pelayan.
Dipautkan pengguna: Kunci Pengaktifan dipautkan pengguna memerlukan pengguna mempunyai Akaun Apple peribadi (bukan Akaun Apple Terurus) dan mereka perlu mengaktifkan Cari. Kaedah ini membenarkan pengguna untuk mengunci peranti dipautkan organisasi ke Akaun Apple peribadi mereka jika perkhidmatan pengurusan peranti membenarkan Kunci Pengaktifan.
Nota: Sesetengah perkhidmatan pengurusan peranti menyokong kedua-dua kaedah Kunci Pengaktifan; apabila mencuba untuk menggunakan kedua-duanya, peristiwa Kunci Pengaktifan pertama yang berjaya didahulukan.
Nyahaktifkan Kunci Pengaktifan
Dalam Apple School Manager atau Apple Business Manager, pengguna dengan keistimewaan Urus Peranti boleh menyahaktifkan Kunci Pengaktifan dipautkan organisasi dan dipautkan pengguna untuk iPhone, iPad, Mac, Apple Watch, atau Apple Vision Pro yang dimiliki oleh organisasi mereka. Anda perlu menambah peranti ke Apple School Manager atau Apple Business Manager sebelum mendayakan Kunci Pengaktifan. Tambahan lagi, anda tidak boleh mengeluarkan peranti, tetapi anda tidak perlu menetapkannya pada perkhidmatan pengurusan peranti.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat:
Panduan Pengguna Apple School Manager: Nyahaktifkan Kunci Pengaktifan
Panduan Pengguna Apple Business Manager: Nyahaktifkan Kunci Pengaktifan
Kunci Pengaktifan dipautkan organisasi untuk iPhone dan iPad
Membenarkan Kunci Pengaktifan dipautkan organisasi bermakna perkhidmatan pengurusan peranti (bukan pengguna) menghubungi pelayan Apple secara terus untuk mengunci atau membuka kunci peranti. Oleh sebab ini berlaku secara keseluruhan oleh pihak pelayan, tiada kebergantungan pada tindakan pengguna atau keadaan peranti mereka. Perkhidmatan pengurusan peranti mencipta kod pintasannya sendiri dan menghantarnya ke pelayan Apple apabila ia diperlukan untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan Kunci Pengaktifan bagi peranti.
Jika perkhidmatan pengurusan peranti anda tidak berjaya mengeluarkan Kunci Pengaktifan, pada skrin Kunci Pengaktifan, masukkan nama pengguna dan kata laluan akaun yang mencipta token perkhidmatan pengurusan peranti yang memautkan perkhidmatan pengurusan peranti ke Apple School Manager atau Apple Business Manager. Ini ialah akaun dengan peranan Pentadbir, Pengurus Tapak (Apple School Manager sahaja), atau Pengurus Pendaftaran Peranti.
Penting: Jika anda menetapkan peranti anda ke perkhidmatan pengurusan peranti yang dipautkan ke Apple School Manager atau Apple Business Manager, gunakan kaedah ini.
Kunci Pengaktifan dipautkan pengguna
Secara kontras dengan Kunci Pengaktifan dipautkan organisasi, Kunci Pengaktifan dipautkan pengguna membolehkan pengguna mengunci peranti yang organisasi anda miliki dengan akaun iCloud peribadi mereka.
Dalam kes ini, perkhidmatan pengurusan peranti boleh membenarkan pengguna untuk mengaktifkan Kunci Pengaktifan pada peranti diselia yang dipautkan organisasi. Oleh kerana Kunci Pengaktifan tidak dibenarkan secara lalai pada peranti diselia, perkhidmatan pengurusan peranti perlu mengambil kod pintasan yang dicipta oleh peranti dan menyimpannya sebelum membenarkan pengguna untuk mengaktifkan Kunci Pengaktifan. Jika pengguna tidak dapat mengesahkan dengan Akaun Apple mereka atas sebarang sebab, termasuk jika mereka meninggalkan organisasi, anda boleh menggunakan kod pintasan untuk menyahaktifkan Kunci Pengaktifan secara jauh dengan perkhidmatan pengurusan peranti, atau secara terus pada peranti, apabila anda perlu memadamkan peranti dan menetapkannya kepada pengguna baharu.
Pada iPhone dan iPad, kod pintasan tersedia sehingga 15 hari selepas peranti pertama kali diselia, atau sehingga perkhidmatan pengurusan peranti memperoleh—dan kemudian mengosongkan—kod secara eksplisit. Jika perkhidmatan pengurusan peranti tidak mengambil kod pintasan dalam masa 15 hari, kod pintasan itu tidak boleh diambil.
Komputer Mac memerlukan Apple silicon atau Cip Keselamatan T2 Apple untuk layak menggunakan Kunci Pengaktifan. Jika komputer Mac yang layak menggunakan Pendaftaran Peranti dan anda mengemas kini atau menaik taraf ke macOS 10.15 atau lebih baharu, Kunci Pengaktifan tidak dibenarkan secara lalai, tetapi anda boleh membenarkannya sebagai pilihan. Mengurus Kunci Pengaktifan pada pemasangan (bukan naik taraf) macOS 10.15 atau lebih baharu memerlukan peranti diselia. Untuk Mac dengan macOS 11 atau lebih baharu, jika ia diselia menggunakan Pendaftaran Peranti, anda tidak boleh mengurus Kunci Pengaktifan sehingga anda mendaftarkan peranti dalam perkhidmatan pengurusan peranti. Ini bermaksud Kunci Pengaktifan mungkin telah diaktifkan apabila Mac didaftarkan dalam perkhidmatan pengurusan peranti dan menjadi diselia. Dalam kes ini, anda tidak boleh menyahaktifkannya menggunakan perkhidmatan pengurusan peranti dan macOS tidak boleh menyahbenarkannya secara lalai sehingga pengguna menyahaktifkannya.
Jika anda memiliki peranti secara fizikal, pada iPhone atau iPad, masukkan kod pintasan Kunci Pengaktifan perkhidmatan pengurusan peranti pada skrin Kunci Pengaktifan dalam medan kata laluan Akaun Apple dan biarkan medan nama pengguna kosong. Pada Mac, anda boleh memasukkan kod pintasan dengan mengklik Pembantu Pemulihan dalam bar menu dan memilih pilihan “Aktifkan dengan kunci MDM”. Rujuk dokumentasi pembangun perkhidmatan pengurusan peranti anda bagi tempat untuk mencari kod pintasan.
Apabila perkhidmatan pengurusan peranti membenarkan Kunci Pengaktifan dipautkan pengguna, perkara berikut berlaku:
Jika Cari diaktifkan apabila perkhidmatan pengurusan peranti anda membenarkan Kunci Pengaktifan, Kunci Pengaktifan diaktifkan pada masa tersebut.
Jika Caridinyahaktifkan apabila perkhidmatan pengurusan peranti anda membenarkan Kunci Pengaktifan, Kunci Pengaktifan diaktifkan kali seterusnya pengguna mengaktifkan Cari.
Menggunakan kod pintasan untuk mengosongkan Kunci Pengaktifan
Untuk mengurus kunci Pengaktifan, perkhidmatan pengurusan peranti anda perlu menyimpan dua kod pintasan:
Kod pintasan dijana peranti. Perkhidmatan pengurusan peranti mengekalkan kod ini sehingga ia menerima kod bukan kosong berbeza daripada peranti.
Kod pintasan yang dicipta pelayan semasa memulakan Kunci Pengaktifkan menerusi perkhidmatan pengurusan peranti.
Kod pintasan yang digunakan oleh perkhidmatan pengurusan peranti untuk mengurus Kunci Pengaktifan adalah penting untuk kebolehan anda untuk mengosongkan Kunci Pengaktifan. Pastikan anda melindungi kod pintasan dan menyandarkannya secara kerap. Jika anda bertukar kepada perkhidmatan pengurusan peranti berbeza, pastikan anda menerima salinan kod pintasan tersebut atau perkhidmatan pengurusan peranti mengosongkan Kunci Pengaktifan untuk semua peranti didaftarkan.
Untuk mengosongkan Kunci Pengaktifan pada peranti Apple yang menyokong dwi SIM, perkhidmatan pengurusan peranti perlu menyertakan kedua-dua nilai IMEI (Identiti Peralatan Mudah Alih Antarabangsa) dalam permintaan. Untuk pembangun perkhidmatan pengurusan peranti, lihat Mencipta dan Menggunakan Kod Pintasan pada tapak web Pembangun Apple.
Jika perkhidmatan pengurusan peranti anda tidak dapat mengeluarkan Kunci Pengaktifan, hubungi sumber sokongan pembangun perkhidmatan pengurusan peranti anda atau lihat artikel Sokongan Apple Cara mengeluarkan Kunci Pengaktifan.