
Gunakan pengurusan peranti pengisytiharan untuk mengurus peranti Apple
Organisasi anda boleh mengurus keadaan peranti—dan mengekalkan keadaan tersebut—dengan membuatkan peranti menggunakan konfigurasi secara bebas berdasarkan kriteria tertentu. Proses pengurusan ini yang dikenali sebagai pengurusan peranti pengisytiharan, memberi anda cara baharu untuk menguatkuasakan kemas kini perisian, mengerahkan konfigurasi dan memastikan paparan terkini merentas peranti terurus anda. Untuk menjadikan adopsi lebih mudah, protokol telah ditambah ke protokol MDM sedia ada. (Untuk mengetahui ciri pengurusan peranti pengisytiharan yang tersedia untuk peranti anda, rujuk dokumentasi pembangun MDM anda.)
Dayakan pengurusan peranti pengisytiharan
Anda mendayakan pengurusan peranti pengisytiharan dengan menghantar perintah MDM khas kepada peranti. Untuk dua peranti Apple—Mac dan peranti iPad yang menawarkan iPad Dikongsi—terdapat sokongan untuk berbilang pengguna dan anda juga boleh menetapkan pengisytiharan kepada saluran pengguna. Untuk mendayakan pengurusan peranti pengisytiharan pada peranti dan saluran pengguna, anda perlu menghantar perintah kepada setiap satu.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang iPad Dikongsi, lihat Gambaran keseluruhan iPad Dikongsi.
Takrifkan konfigurasi
Disebabkan pendekatan pengurusan peranti pengisytiharan ialah modular, ia menawarkan anda fleksibiliti yang hebat apabila mentakrifkan konfigurasi peranti. Berbanding menggunakan hubungan satu demi satu—dengan satu pengaktifan yang merujuk kepada konfigurasi tunggal dan mungkin kepada aset tunggal—ia menggunakan pendekatan yang lebih efisien.
Contohnya, pengaktifan boleh mengumpulkan semua konfigurasi yang perlu digunakan pada masa yang sama. Untuk mengelakkan ulangan yang tidak diperlukan, anda boleh menggunakan konfigurasi yang sama dalam berbilang pengaktifan. Seperti konfigurasi, aset boleh digunakan oleh berbilang konfigurasi. Selain itu, aset boleh dikemas kini secara bebas daripada konfigurasi berkaitan. Pendekatan berautonomi ini mengurangkan kesan pengguna kerana konfigurasi kekal pada peranti. Ini berguna terutamanya apabila maklumat kelayakan akaun perlu dikemas kini sementara mengelak penyelarasan penuh semula data berkaitan dan mengekalkan seting pengguna setempat.
Peralihan kepada pengurusan peranti pengisytiharan
Untuk membantu melancarkan peralihan kepada pengurusan peranti pengisytiharan, protokol MDM disertakan dengan pelbagai fungsi. Contohnya, anda boleh membenamkan profil sedia ada dalam pengisytiharan profil legasi. Atau anda boleh membuatkan penyelesaian MDM mengambil pemilikan profil yang telah dikerahkan dan menghijrahkannya ke pengisytiharan konfigurasi legasi. Dengan cara ini, anda mengelak daripada mengeluarkan profil sedia ada dan menggantikannya dengan konfigurasi yang boleh mengganggu pengguna.
Jika seting sama dihantar sebagai profil MDM dan konfigurasi pengisytiharan ke peranti, peraturan yang sama digunakan seperti jika seting dihantar oleh berbilang profil. Sebagai contoh, jika dasar kod laluan dikonfigurasi oleh profil dan konfigurasi, dasar digabungkan dan seting paling ketat dikuatkuasakan.
Penting: Kemas kini perisian dan konfigurasi app digunakan mengikut pengurusan peranti pengisytiharan didahulukan berbanding perintah MDM yang serupa.
Pasang pengisytiharan secara manual
Untuk peranti dengan iOS 17, iPadOS 17, macOS 14, visionOS 1.1 atau lebih baharu, organisasi dan pembangun MDM boleh melaksanakan ujian dengan memasang profil yang mengandungi pengisytiharan secara manual—daripada Seting (untuk iPhone, iPad dan Apple Vision Pro) atau daripada Seting Sistem (untuk Mac). Anda boleh menggunakan pilihan ini untuk memasang akaun, profil legasi, kod laluan dan konfigurasi perkongsian skrin, serta sijil dan identiti.
Predikat pengaktifan
Pengurusan peranti pengisytiharan membolehkan peranti menggunakan konfigurasi secara bebas berdasarkan kriteria tertentu. Kriteria ditakrifkan sebagai syarat logik yang berfungsi menggunakan predikat.
Pengaktifan boleh termasuk predikat pilihan yang menentukan sama ada konfigurasi yang dirujuk dalam pengaktifan digunakan pada peranti. Untuk predikat pengaktifan, anda boleh menggunakan laporan status dan sifat pengurusan tersuai yang tersedia. Organisasi anda mentakrifkan sifat pengurusan tersuai ini sebagai integer, rentetan atau nilai Boolean, atau sebagai tatasusunan. Pengaktifan boleh menggunakannya untuk menentukan sama ada set tertentu konfigurasi harus digunakan.
Manfaat predikat pengaktifan adalah dalam kes penggunaan pintar, yang peranti boleh dipramuat dengan pengisytiharan, yang diaktifkan secara automatik apabila sifat pengurusan yang betul dihantar oleh penyelesaian MDM. Pendekatan ini boleh membantu mengelakkan pengumpulan dan peninjauan kompleks pada sisi MDM.
Kemas kini perisian
Pengurusan peranti pengisytiharan boleh digunakan untuk mengurus kemas kini dalam iOS, iPadOS dan macOS. Ia memberikan pilihan baharu untuk masa dan cara kemas kini atau naik taraf perisian sepatutnya dikuatkuasakan. Pengguna turut menerima maklumat tambahan dalam Seting (iOS dan iPadOS) dan Seting Sistem (macOS) apabila kemas kini diminta dan apabila ia dikuatkuasakan.
Pemberitahuan tambahan ditunjukkan dengan lebih kerap menuju ke tarikh penguatkuasaan. Untuk memastikan yang pemberitahuan ini dipaparkan kepada pengguna, ciri Jangan Ganggu diabaikan 24 jam sebelum kemas kini dikuatkuasakan—membolehkan pengguna Ini membolehkan pengguna memilih masa yang paling sesuai untuk melaksanakan kemas kini. Sekiranya pengguna belum memasang kemas kini sebelum tarikh penguatkuasaan:
macOS memaksa keluar app terbuka dan melaksanakan mula semula jika perlu.
iOS dan iPadOS memaksa pengguna untuk memasukkan kod laluan mereka jika kod laluan disetkan (melainkan jika telah diberikan sebelum ini).
Untuk memulakan kemas kini, kunci baharu berikut boleh digunakan:
TargetOSVersion dan TargetBuildVersion: Mentakrifkan versi untuk dinaik taraf. Jika kedua-dua kunci disetkan,
TargetBuildVersion
didahulukan.TargetLocalDateTime: Mentakrifkan masa tempatan peranti apabila kemas kini dikuatkasakan.
DetailsURL: Memberikan URL halaman web yang boleh digunakan oleh organisasi untuk memberi maklumat lanjut dan konteks tentang kemas kini.
Menggunakan laporan status pengisytiharan, penyelesaian MDM juga boleh mendapatkan peningkatan kelutsinaran tentang status kemas kini—sebagai contoh, menunggu, memuat turun atau memasangkan kemas kini. Kod ralat bermakna telah ditambah sekiranya kemas kini tidak dapat dilaksanakan atau tidak dapat diselesaikan. Sesetengah contoh ialah jika peranti berada di luar talian, jika pengecasan bateri terlalu rendah atau jika ruang kosong yang tersedia tidak mencukupi.