Fahami sesetengah perbezaan dalam Akses Bantu pada iPhone
App Akses Bantu telah direka bentuk semula untuk kebolehcapaian kognitif dan menyertakan teks dan ikon yang lebih besar, ciri yang lebih difokuskan dan pilihan yang boleh disesuaikan. Tambahan, sesetengah ciri berfungsi secara berbeza dalam Akses Bantu—halaman ini menerangkan sesetengah aspek penting apabila anda perlu keluar daripada Akses Bantu.
Menghubungi Perkhidmatan Kecemasan
Anda boleh melakukan panggilan kecemasan daripada iPhone dalam Akses Bantu dengan mengklik butang sisi tiga kali (pada iPhone dengan Face ID) atau butang Utama (pada model iPhone lain), atau dengan menahan butang Bangun/Tidur dan satu daripada butang kelantangan (pada sebarang model iPhone), kemudian mengetik Kecemasan dan mendail nombor kecemasan tempatan anda menggunakan pad kekunci Kecemasan. Secara alternatif, apabila anda menyediakan Akses Bantu anda boleh menambahkan app Panggilan dan membenarkan panggilan kepada sesiapa. Adalah disyorkan anda menyediakan ID Perubatan anda dalam app Kesihatan supaya maklumat perubatan kritikal tersedia kepada penindak pertama. Maklumat ini boleh diakses tanpa kod laluan daripada pad kekunci Kecemasan. Lihat artikel Sokongan Apple Sediakan ID Perubatan anda dalam app Kesihatan pada iPhone anda.
Jika Pengesanan Nahas tersedia dan didayakan pada iPhone, ia akan terus berfungsi dalam Akses Bantu.
SOS Kecemasan melalui satelit tidak tersedia dalam Akses Bantu, tetapi boleh digunakan pada model iPhone yang disokong apabila anda keluar daripada Akses Bantu.
Semua pendailan automatik lain kepada Perkhidmatan Kecemasan tidak tersedia dalam Akses Bantu. Untuk menghantar mesej kepada Perkhidmatan Kecemasan (tidak tersedia di semua negara atau rantau), anda sama ada perlu keluar daripada Akses Bantu atau tambahkan nombor perkhidmatan kecemasan berkenaan ke app Kenalan dan tambahkannya sebagai kenalan yang dibenarkan untuk menghantar mesej kepadanya dalam Akses Bantu.
Keizinan app
Untuk meminimumkan menu timbul semasa menggunakan iPhone, app tidak akan meminta keizinan untuk mengakses maklumat seperti lokasi, foto dan kenalan. Sebaliknya, anda mempunyai pilihan untuk mengesetkan keizinan akses untuk app apabila anda menyediakan Akses Bantu. Untuk menyemak atau menukar keizinan app, anda mesti keluar daripada Akses Bantu dan pergi ke Seting > Kebolehcapaian > Akses Bantu atau Seting > App > [nama app].
Kemas kini perisian
Anda juga perlu keluar daripada Akses Bantu dan pergi ke Seting untuk memasang kemas kini perisian baharu kerana tiada app Seting atau pemberitahuan dalam Akses Bantu yang menunjukkan sama ada kemas kini tersedia.
Privasi dan maklumat peranti
Sesetengah maklumat privasi app, ikon status dan simbol tidak tersedia dalam Akses Bantu, termasuk yang menunjukkan ketersediaan rangkaian, Mod Pesawat, Fokus atau Bluetooth®, atau apabila app atau tapak web menggunakan Perkhidmatan Lokasi. Anda boleh keluar daripada Akses Bantu untuk melihat maklumat ini.
Panggilan dan mesej
Apabila anda menyediakan Panggilan untuk Akses Bantu, anda boleh memilih untuk membenarkan panggilan dengan sesiapa, semua kenalan dalam app Kenalan atau kenalan kegemaran sahaja. Jika anda memilih untuk membenarkan panggilan kepada sesiapa, orang yang menggunakan Akses Bantu boleh memanggil mana-mana kenalan dan memasukkan nombor telefon untuk membuat panggilan telefon, serta mengembalikan panggilan daripada sesiapa yang telah memanggil mereka. Jika anda tidak membenarkan panggilan dengan semua orang, anda mesti keluar daripada Akses Bantu untuk membuat atau menerima panggilan daripada sesiapa yang tidak dibenarkan untuk dihubungi.
Apabila anda menyediakan Mesej untuk Akses Bantu, anda boleh memilih untuk membenarkan mesej dengan sesiapa, semua kenalan dalam app Kenalan atau kenalan kegemaran sahaja. Jika anda memilih untuk membenarkan mesej kepada sesiapa, orang yang menggunakan Akses Bantu boleh menghantar mesej kepada mana-mana kenalan serta membalas mesej daripada sesiapa yang telah menghantar mesej kepada mereka. Jika anda tidak membenarkan mesej dengan semua orang, anda mesti keluar daripada Akses Bantu untuk membuat atau menerima mesej daripada sesiapa yang tidak dibenarkan untuk dihubungi. Walaupun jika anda membenarkan mesej kepada sesiapa, anda perlu keluar daripada Akses Bantu untuk menghantar mesej kepada sesiapa yang tidak dibenarkan untuk dihubungi sekiranya mereka belum menghantar mesej kepada anda.