Fahami sesetengah perbezaan dalam Akses Bantu pada iPhone
App Akses Bantu telah direka bentuk semula untuk kebolehcapaian kognitif dan menyertakan teks dan ikon yang lebih besar, ciri yang lebih difokuskan dan pilihan yang boleh disesuaikan. Tambahan, sesetengah ciri berfungsi secara berbeza dalam Akses Bantu—halaman ini menerangkan sesetengah aspek penting pengalaman Akses Bantu.
Menghubungi Perkhidmatan Kecemasan pada iPhone
Anda boleh melakukan panggilan kecemasan daripada iPhone dalam Akses Bantu dengan mengklik butang sisi tiga kali (pada iPhone dengan Face ID) atau butang Utama (pada model iPhone lain), atau dengan menahan butang Bangun/Tidur dan satu daripada butang kelantangan (pada sebarang model iPhone), kemudian mengetik Kecemasan dan mendail nombor kecemasan tempatan anda menggunakan pad kekunci Kecemasan. Sebagai alternatif, anda boleh menambah app Panggilan dan mengaktifkan Tunjukkan Pad Kekunci Pendail apabila anda menyediakan Akses Bantu.
Jika Pengesanan Nahas tersedia dan didayakan pada iPhone, ia akan terus berfungsi dalam Akses Bantu. SOS Kecemasan melalui satelit tidak tersedia, tetapi boleh digunakan pada model iPhone yang disokong apabila anda keluar daripada Akses Bantu. Semua pendailan automatik lain kepada Perkhidmatan Kecemasan tidak tersedia dalam Akses Bantu. Untuk menghantar mesej kepada Perkhidmatan Kecemasan (tidak tersedia di semua negara atau rantau), anda sama ada perlu keluar daripada Akses Bantu atau tambahkan nombor perkhidmatan kecemasan berkenaan ke app Kenalan dan tambahkannya sebagai kenalan yang dibenarkan untuk menghantar mesej kepadanya dalam Akses Bantu.
Adalah disyorkan anda menyediakan ID Perubatan anda dalam app Kesihatan supaya maklumat perubatan kritikal tersedia kepada penindak pertama. Maklumat ini boleh diakses tanpa kod laluan daripada pad kekunci Kecemasan. Lihat artikel Sokongan Apple Sediakan ID Perubatan anda dalam app Kesihatan pada iPhone anda.
Keizinan akses app
Untuk meminimumkan menu timbul semasa menggunakan iPhone, app tidak akan meminta keizinan untuk mengakses maklumat seperti lokasi, foto dan kenalan. Sebaliknya, anda mempunyai pilihan untuk mengesetkan keizinan akses untuk app apabila anda menyediakan Akses Bantu. Untuk menyemak atau menukar keizinan app, anda mesti keluar daripada Akses Bantu dan pergi ke Seting > Kebolehcapaian > Akses Bantu atau Seting > [nama app]. Anda juga perlu keluar daripada Akses Bantu dan kembali ke Seting untuk memasang Kemas Kini Perisian baharu, kerana tiada app Seting atau pemberitahuan dalam Akses Bantu yang menunjukkan sama ada kemas kini tersedia.
Privasi dan maklumat peranti
Sesetengah maklumat privasi app, ikon status dan simbol tidak tersedia dalam Akses Bantu, termasuk yang menunjukkan ketersediaan rangkaian, Mod Pesawat, Fokus atau Bluetooth®, atau apabila app atau tapak web menggunakan Perkhidmatan Lokasi. Anda boleh keluar daripada Akses Bantu untuk melihat maklumat ini.
Panggilan dan mesej
Apabila anda menyediakan Panggilan untuk Akses Bantu, anda boleh memilih untuk membenarkan panggilan masuk daripada semua orang, daripada semua kenalan dalam app Kenalan atau daripada kenalan dipilih sahaja. Jika anda membenarkan panggilan hanya daripada kenalan dalam app Kenalan atau kenalan khusus, anda mesti keluar daripada Akses Bantu untuk menerima panggilan daripada sesiapa yang tidak dibenarkan untuk menghubungi anda. Untuk panggilan keluar, anda mesti memilih kenalan khusus untuk membenarkan panggilan kepada mereka. Untuk membuat panggilan kepada nombor yang bukan dalam senarai kenalan dipilih, anda boleh menambah pad kekunci pendail pada app Panggil atau keluar daripada Akses Bantu.
Apabila anda menyediakan Mesej untuk Akses Bantu, anda boleh memilih untuk membenarkan mesej masuk daripada semua orang, daripada semua kenalan dalam app Kenalan atau daripada kenalan terpilih sahaja. Jika anda membenarkan mesej hanya daripada kenalan dalam app Kenalan atau kenalan khusus, anda mesti keluar daripada Akses Bantu untuk menerima mesej daripada sesiapa yang tidak dibenarkan untuk menghubungi anda. Untuk mesej keluar, anda mesti memilih kenalan khusus untuk membenarkan mesej kepada mereka. Anda mesti keluar daripada Akses bantu untuk menghantar mesej kepada sesiapa yang di luar senarai kenalan dipilih.
Nota: Pilihan untuk menerima panggilan dan mesej daripada semua orang tersedia dalam iOS 17.1 atau lebih baharu.