Masukkan teks dan nombor dalam Numbers pada Mac
Anda boleh menambah kandungan pada jadual melalui beberapa cara. Anda boleh menaip terus ke dalam sel, menyalin dan menampal kandungan dari tempat lain, atau membiarkan Numbers melengkapkan corak bagi anda dengan isi auto. Anda boleh mengedit atau mengosongkan sel pada bila-bila masa selepas anda menambah kandungan padanya.
Nota: Jika anda tidak boleh mengubah suai jadual, pastikan jadual tersebut telah dibuka kunci. Klik jadual, kemudian pilih Susun > Buka Kunci (daripada menu Susun di bahagian atas skrin anda).
Tambah, edit dan padam kandungan dalam sel
Tambah kandungan pada sel kosong: Klik sel, kemudian mula menaip.
Semasa anda menaip, Numbers menunjukkan senarai cadangan auto lengkap. Senarai ini termasuk sebarang teks yang dimasukkan dalam lajur tersebut sebelum ini, kecuali teks pengepala atau pengaki. Tekan kekunci Tab untuk menskrol menerusi senarai. Apabila cadangan yang anda mahu telah dipilih, tekan kekunci Return untuk memasukkannya dalam sel. Anda boleh aktif atau nyahaktifkan cadangan auto lengkap dalam keutamaan Numbers.
Untuk memasukkan pemisah baris dalam sel, tekan Option-Return
Tampal perenggan dalam sel: Salin perenggan yang anda mahu tampal, dwiklik sel, kemudian pilih Edit > Tampal (daripada menu Edit di bahagian atas skrin).
Edit kandungan: Dwiklik sel untuk membolehkan titik sisipan muncul, kemudian taip. Untuk menggerakkan titik sisipan, klik tempat yang anda mahukannya, kemudian taip.
Gantikan kandungan: Klik sel, kemudian mula menaip. Kandungan sedia ada akan digantikan.
Padamkan semua kandungan: Klik sel, kemudian tekan Delete pada papan kekunci anda.
Lihat Formatkan tarikh, mata wang dan banyak lagi dalam Numbers pada Mac untuk pelajari cara setkan format data tertentu untuk sel.
Anda juga boleh tambah imej atau objek lain dan masukkan pautan dalam sel.
Isi auto sel
Anda boleh juga mengisi sel, atau baris atau lajur dengan cepat, menggunakan data atau jujukan data logik yang sama—sebagai contoh, siri nombor, huruf, atau tarikh.
Lakukan mana-mana daripada berikut:
Isi auto satu atau lebih sel dengan kandungan daripada sel bersebelahan: Pilih sel dengan kandungan yang anda mahu salin, kemudian gerakkan penuding ke atas jidar pilihan sehingga pemegang isi auto kuning (titik) muncul. Seret pemegang ke atas sel yang anda mahu tambah kandungan.
Sebarang data, format sel, formula atau isian yang dikaitkan dengan sel yang dipilih akan ditambah, tetapi komen tidak akan ditambah. Isi auto akan menggantikan data sedia ada dengan kandungan yang anda tambah.
Isi auto sel dengan kandungan berjujukan atau corak ke dalam sel bersebelahan: Taipkan dua item pertama dalam siri ke dalam dua sel isi pertama (bukan sel pengepala atau pengaki) baris atau lajur yang anda mahu isi; contohnya, taipkan A dan B. Pilih sel ini, gerakkan penuding ke atas jidar pilihan sehingga pemegang isi auto kuning (titik) muncul, kemudian seret pemegang ke atas sel yang anda mahu isikan.
Anda juga boleh mengisi auto sel menggunakan corak nilai. Contohnya, jika dua sel yang dipilih mengandungi 1 dan 4, nilai 7 dan 10 ditambah apabila anda menyeret merentas dua sel bersebelahan (nilai ditokok dengan 3).
Isi auto tidak mewujudkan perhubungan berterusan antara sel dalam kumpulan. Selepas mengisi auto, anda boleh menukar sel secara bebas daripada satu sama lain.
Apabila anda mengisi auto sel, sebarang formula yang merujuk pada sel tersebut akan dikemas kini secara automatik untuk menggunakan nilai baru.
Salin atau alihkan kandungan sel
Apabila anda menyalin sel atau memindahkan data sel ke lokasi baru dalam jadual, sifat sel turut disalin atau dialihkan, termasuk format data, isian, jidar dan komen.
Pilih sel yang anda mahu salin atau pindahkan.
Lakukan salah satu daripada berikut:
Alihkan data: Selepas memilih sel, klik dan tahan sel sehingga ia kelihatan terangkat daripada jadual, kemudian seretnya ke lokasi lain dalam jadual. Data sedia ada digantikan dengan data baru.
Tampal dan gantikan kandungan sedia ada: Pilih Edit > Salin (daripada menu Edit berada di bahagian atas skrin anda). Pilih sel kiri sebelah atas yang anda mahu tampalkan data (atau pilih kawasan dengan dimensi yang sama dengan sel yang anda tampal), kemudian pilih Edit > Tampal.
Jika julat data anda mengandungi formula namun anda mahu menampal hasil sahaja, pilih Tampal Hasil Formula.
Tampal tanpa menulis ganti: Pilih Edit > Salin, pilih sel destinasi, kemudian pilih Masukkan > Baris Disalin atau Masukkan > Lajur Disalin (daripada menu Masukkan di bahagian atas skrin anda). Baris atau lajur baru ditambah untuk sel yang disalin.
Tampal gaya sel: Pilih Format > Salin Gaya (daripada menu Format di bahagian atas skrin anda), pilih sel yang anda mahu menampal gaya, kemudian pilih Format > Tampal Gaya.
Tampal kandungan sel tanpa gaya: Pilih Edit > Salin, pilih sel yang anda mahu tampalkan kandungan tersebut, kemudian pilih Edit > Tampal dan Padankan Gaya. Sel yang ditampal menggunakan pemformatan lokasi baru.
Tampal di luar jadual sedia ada untuk mencipta jadual baru: Seret sel ke luar jadual. Jadual baru dicipta dengan sel yang ditampal.
Jika anda menyalin julat sel yang termasuk data tersembunyi (sama ada tersembunyi atau ditapis), data tersembunyi turut disalin. Jika anda menampal julat sel dengan susunan yang sepadan dengan sel tersembunyi, data tersembunyi turut akan ditampal. Sebaliknya, kandungan yang tersembunyi tidak ditampal.
Aktif atau nyahaktifkan cadangan auto lengkap
Semasa anda menaip dalam sel, Numbers boleh menunjukkan senarai cadangan auto lengkap. Senarai ini termasuk sebarang teks yang dimasukkan dalam lajur tersebut sebelum ini, tetapi bukan teks pengepala atau pengaki. Auto lengkap aktif secara lalai, namun anda boleh menyahaktifkannya atau mengaktifkannya pada bila-bila masa.
Pilih Numbers > Keutamaan (daripada menu Numbers di bahagian atas skrin anda).
Klik Umum di bahagian atas tetingkap keutamaan.
Dalam bahagian Pengeditan, pilih atau nyahpilih “Tunjukkan cadangan apabila mengedit sel jadual”.
Tunjukkan baris dan lajur sel
Anda boleh menyerlahkan baris dan lajur sel dalam warna biru buat sementara semasa anda menggerakkan penuding ke atas jadual. Dalam jadual besar, ini boleh membantu anda mengenalpasti rujukan lajur dan baris untuk sel tertentu.
Tahan kekunci Option semasa anda menggerakkan penuding di atas sel.