Jenis Smart Control dalam GarageBand pada Mac
GarageBand menyediakan pelbagai jenis tampalan instrumen perisian sedia untuk digunakan. Setiap tampalan mengandungi bunyi dalam kategori instrumen tertentu, temasuk kesan. Anda boleh menggunakan tampalan ini sedia ada, atau melaraskan bunyi mereka menggunakan Smart Controls. Untuk mendapatkan maklumat tentang menggunakan tampalan instrumen perisian, lihat Rakam instrumen perisian dalam GarageBand pada Mac dan Pengenalan kepada tampalan dalam GarageBand pada Mac. Juga lihat bahagian Gunakan Arpeggiator dalam GarageBand pada Mac untuk berseronok dengan tampalan instrumen anda.
Tataletak asas kawalan skrin adalah sama untuk setiap kategori bunyi instrumen. Kawalan nada dan kawalan instrumen lain adalah di sebelah kiri dan kesan di sebelah kanan. Contohnya, tampalan Saksofon memberikan kawalan nada Rendah dan Tinggi serta kawalan kesan Ambiens dan Talun.
Persamaan antara kawalan dalam kategori instrumen yang sama menjadikan ianya mudah untuk bereksperimen dengan variasi tampalan dan bunyi berbeza dalam projek anda. Gambaran keseluruhan ini memberikan anda idea tentang jenis kawalan yang anda akan temui dalam banyak tampalan dalam kategori instrumen berbeza dan bagaimana ia memberi kesan kepada bunyi.
Gitar dan Bes
Tampalan gitar dan bes elektrik kesemuanya memberikan kawalan Gandaan dan Nada. Gandaan melaraskan paras bunyi dan boleh memberikan kesan pacuan berlebihan. Nada mengubah warna bunyi, menjadikan ianya lebih cerah atau gelap, atau lebih hangat atau kasar, bergantung kepada tampalan. Kawalan kesan berbeza antara tampalan, tetapi ia termasuk kesan Korus, Tunda, Talun dan Flanger. Lihat Jenis kesan untuk penerangan.
Tampalan gitar dan bes akustik memberikan kawalan Rendah dan Tinggi yang menggalak atau memotong hujung bawah dan atas bunyi, serta boleh menambahkan badan dan kehangatan. Kesan termasuk Pemampat, Ambien dan Talun. Ambien melaraskan saiz ruang akustik dan Talun mengubah jumlah talun, atau panjang ekor talun, tetapi ini berbeza antara tampalan.
Kit Dram
Tampalan Kit Dram akustik kesemuanya memberikan kawalan Adunan yang membolehkan anda senyapkan atau setkan paras setiap bunyi. Pemampatkan menambahkan keseronokan kepada bunyi. Nada mengubah warna bunyi, menjadikan bunyi kayu atau pemukul lebih utama dan bahagian serangan bunyi lebih cerah. Bilik mengubah saiz ruang simulasi di mana kit anda berada.
Tampalan Kit Dram elektronik kesemuanya memberikan kawalan Adunan yang membolehkan anda setkan paras setiap bunyi. Kesan termasuk penapis Potongan Rendah dan Tinggi, serta kawalan herotan Remuk dan Pacuan. Ini memberikan lebih banyak kawalan nada dan menjadikan dram elektronik berbunyi lebih kasar dan keras. Kawalan Talun mengubah ruang akustik di mana kit anda dimainkan.
Orkestra dan Mallet
Kebanyakan tampalan instrumen orkestra memberikan kawalan Rendah dan Tinggi yang menggalak atau memotong hujung bawah dan atas bunyi, serta boleh menambahkan badan dan kehangatan. Kesan termasuk Korus, Tunda, Ambien dan Talun. Ambien melaraskan saiz ruang akustik dan Talun mengubah jumlah talun, atau panjang ekor talun, tetapi ini berbeza antara tampalan.
Sesetangah tampalan orkestra menyertakan kawalan Tala yang membolehkan anda melaraskan pic instrumen. Sesetengah instrumen seperti loyang atau tali memberikan kawalan cara instrumen dimainkan, membolehkan anda bertukar ke mod legato atau staccato atau untuk mengubah masa yang diambil untuk nada dimainkan, mengikut lagak gesekan atau tiupan perlahan.
Piano Elektrik Vintaj dan Piano
Tampalan Piano Elektrik Vintaj memberikan kawalan Loceng dan Pacuan. Loceng menjadikan bunyi lebih berdering dan Pacuan menambah herotan yang hangat. Kawalan nada Trebel dan Bes menjadikan bunyi lebih cerah atau gelap, atau lebih hangat atau kasar, bergantung kepada tampalan. Kawalan kesan selalunya menyertakan Tremolo, yang menambah kesan bergegar kepada bunyi, atau Korus, yang menebalkan bunyi. Ambien melaraskan saiz ruang akustik dan Talun mengubah panjang ekor talun, tetapi ini berbeza antara tampalan.
Piano akustik memberikan kawalan Rendah dan Tinggi yang menggalak atau memotong hujung bawah dan atas bunyi, serta boleh menambahkan badan dan kehangatan. Kesan termasuk Pemampat, Tunda, Ambien dan Talun. Ambien melaraskan saiz ruang akustik dan Talun mengubah jumlah talun, atau panjang ekor talun, tetapi ini berbeza antara tampalan.
Synthesizer
Synthesizer dinamakan sedemikian kerana boleh meniru lagak, atau sintesis, pelbagai bunyi—seperti bunyi instrumen lain, suara, helikopter, kereta, atau anjing yang menyalak. Synthesizer juga boleh menghasilkan bunyi yang tidak muncul dalam dunia nyata. Kebolehan untuk menjana nada yang tidak boleh dicipta dengan cara lain menjadikan synthesizer sebuah alat muzik yang unik.
Kawalan skrin tampalan synthesizer boleh berbeza dengan nyata, kerana jenis synthesizer yang berbeza adalah lebih bgus dalam menghasilkan jenis bunyi yang berbeza. Kebanyakan tampalan berkongsi enjin synthesizer lanjutan dan kaedah kawalan yang sama dibincangkan dalam Gunakan Pad Transformasi dalam GarageBand pada Mac.
Tampalan synthesizer lain mengikut tataletak synthesizer subtraktif tradisional mudah, yang bermula dari kiri ke kanan.
Pengayun menjana isyarat asas, yang selalunya ialah bentuk gelombang yang kaya dengan harmonik. Kebanyakan tampalan memberikan kawalan bentuk gelombang Timbre, Grit, Hingar, Sine atau yang lain untuk setkan nada asas. Sesetengah tampalan mungkin menyertakan kawalan LFO (pengayun berfrekuensi rendah) yang memodulasikan dan menapis komponen. Sesetengah tampalan boleh mengandungi kawalan global yang menetapkan ciri keseluruhan bunyi synthesizer anda, seperti penalaan, luncuran antara not dan lengkung pic.
Bahagian penapis mengubah isyarat bentuk gelombang pengayun asas dengan menapis (mengeluarkan) sebahagian spektrum frekuensi. Kebanyakan tampalan menyertakan kawalan Cutoff dan Resonans yang membolehkan anda mengubah bunyi secara lembut atau dramatik.
Sesetengah tampalan synthesizer GarageBand juga menyertakan kawalan sampul penguat yang menetapkan paras (pengayun dan penapis) untuk sebahagian permulaan, tengah dan penghujung bunyi anda. Ini dipanggil Attack, Sustain atau Decay dan Release.
Kawalan kesan dijumpai di sebelah kanan kawalan tampalan synthesizer dan mungkin menyertakan kesan Korus, Tunda, Talun dan Flanger, contohnya. Lihat Jenis kesan untuk penerangan.
Organ B3 Vintaj
Semua tampalan organ B3 memberikan kawalan bar tarik yang membolehkan anda melaraskan paras harmonik yang berbeza dalam bunyi. Seret bar tarik ke bawah untuk menjadikan harmonik lebih kuat, atau seret bar tarik ke atas untuk menjadikan harmonik lebih lembut. Kawalan Pecutan di bawah bar tarik menentukan kelajuan emulasi kabinet speaker Leslie terbina dalam. Kabinet speaker Leslie selalu dipasangkan dengan organ B3 asal dan dianggap elemen penting bunyi B3 klasik.
Suis Korus menambah kesan korus yang bunyinya berbeza dengan kesan korus moden. Suis Genderang menambah harmonik kedua atau ketiga kepada permulaan nota. Harmonik ini pudar keluar dengan cepat, meninggalkan nada bar tarik yang dipilih. Pilih Soft atau Normal untuk mengawal bagaimana harmonik pudar keluar bertindak balas dengan permainan anda.
Kesan B3 vintaj termasuk Herotan, Klik, Organ Verb dan Talun. Herotan mensimulasikan amplifier tiub yang digunakan untuk memacu kabinet speaker Leslie dan boleh membuatkan bunyi lebih hangat dan garuk. Klik setkan paras ciri bunyi klik keyboard B3 asli. Organ Verb memberikan talun mudah yang meniru lagak talun bilik dan spring. Talun mengubah amaun talun, tetapi ini berbeza mengikut tampalan.
Klav Vintaj
Semua tampalan klavinet memberikan suis penapis yang meniru lagak suis kawalan nada asli klavinet D6.
Brilliant: Menjadikan bunyi sengau dengan potongan bes yang kuat.
Trebel: Menjadikan bunyi lebih nyaring dengan potongan bes yang lembut.
Medium: Menjadikan bunyi lebih rendah dengan pengurangan bes yang sedikit.
Lembut: Jadikan bunyi lebih lembut atau lebih disenyapkan.
D6 asal mempunyai dua pickup electromagnetic, seperti yang dijumpai dalam gitar elektrik—satu di bawah tali (rendah) dan satu di atas tali (tinggi). Butang Pickup mengubah bunyi pickup maya ini. Gelangsar Rendah dan Tinggi mengubah kedudukan pickup. Cuba alihkan kedudukan pickup semasa memainkan not untuk mendengar kesan yang ada pada nada keseluruhan.
Klav Vintaj termasuk Pacuan, Phaser, Flanger, Wah, Ambien dan Talun. Pacuan boleh memberikan pacuan berlebihan yang hangat atau herotan yang agresif. Phaser dan flanger menambah jenis bunyi whosh dan melibas. Wah mewarnakan nada dengan menekankan sesetengah frekuensi yang bertindak balas terhadap permainan anda. Ambien melaraskan saiz ruang akustik dan Talun mengubah jumlah talun, atau panjang ekor talun, tetapi ini berbeza antara tampalan.
Mellotron Vintaj
Mellotron Vintaj mencipta semula ciri dan beberapa bunyi daripada instrumen keyboard popular ini yang telah ditampilkan dalam berdozen lagu rock klasik dan pop dari tahun 1960-an, 70-an dan selebihnya.
Mellotron dianggap sebagai pelopor instrumen main balik sampel moden. Ia mempunyai rakaman bunyi instrumen yang disimpan pada pita magnetik individu untuk setiap not keyboard. Pita ini ditarik merentasi kepala pita apabila setiap kekunci ditekan. Kaedah main balik bunyi ini mempunyai kualiti nada unik dan pesona bunyi.
Menu timbul Bunyi 1 & Bunyi 2: Pilih instrumen bunyi 1 atau bunyi 2.
Menu timbul Transposisi Bunyi 1 & Bunyi 2: Setkan oktaf main balik bebas untuk instrumen bunyi 1 atau bunyi 2.
Tombol adunan: Setkan keseimbangan paras antara instrumen bunyi 1 atau 2. Setkan ke kedudukan hujung kiri atau hujung kanan untuk mendengar bunyi 1 atau bunyi 2 berasingan.
Tombol serangan: Setkan masa diperlukan untuk bunyi pudar masuk.
Tombol Kelajuan Pita: Setkan kelajuan pita. Ini meniru turun naik nada yang disebabkan oleh kawalan ini pada instrumen asal.
Tombol lepas: Setkan masa yang diambil untuk bunyi pudar keluar selepas anda melepaskan kekunci.
Tombol Nada: Pusingkan ke kanan untuk mengurangkan bes dan untuk menjadikan bunyi lebih jelas dan sengau. Pusingkan ke kiri untuk mengurangkan kecerahan, menjadikan bunyi lebih hangat dan lebih lunak.
Kesan Mellotron Vintaj termasuk Phaser, Tunda, Amp dan Talun. Phaser menambah jenis bunyi melibas. Tunda menambah kesan gema. Amp boleh memberikan pacuan berlebihan yang hangat dan herotan yang tidak ketara. Talun mengubah amaun talun, atau panjang ekor talun, tetapi ini berbeza mengikut tampalan.