Apakah Terminal pada Mac?
Terminal ialah app untuk pengguna dan pembangun lanjutan yang membolehkan anda berkomunikasi dengan sistem pengendalian Mac menggunakan antara muka garis perintah (CLI). Anda masukkan perintah dan skrip (dipanggil skrip cangkerang) untuk melaksanakan tugas pada Mac anda.
Apabila anda membuka Terminal, anda akan melihat tetingkap ringkas dengan gesaan garis perintah. Terminal mempunyai katalog perintah dan pilihan sofistikated yang anda boleh gunakan untuk melaksanakan tugas yang ringkas hingga tugas sangat kompleks. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang memaparkan dan menggunakan perintah dalam Terminal, lihat Membaca Halaman Panduan UNIX pada tapak web Pembangun Apple.
Berbeza dengan app Mac biasa yang anda gunakan antara muka pengguna grafik (GUI)—butang, gelangsar, menu—untuk melaksanakan tugas dan mengakses ciri app, Terminal memerlukan anda memasukkan baris kod dalam antara muka garis perintah. Perintah kod ini (dan berbilang perintah dihantar sebagai skrip) dilaksanakan oleh cangkerang, yang merupakan antara muka pengguna untuk sistem pengendalian UNIX.
Dalam Terminal, anda boleh melaksanakan perintah dan skrip yang memberitahu cangkerang perkara untuk dilakukan. Contohnya, anda boleh memasukkan perintah untuk menunjukkan kandungan folder atau skrip yang mengautomasikan pembukaan app dan pelaksanaan tugas.
Anda boleh menggunakan skrip ringkas dengan Terminal untuk menjimatkan masa atau mengautomasikan tugas berulang. Apabila anda perlu mengautomasikan sesuatu atau menggunakan skrip pada pemprograman tahap rendah yang pantas, Terminal memberikan akses yang bagus kepada input dan output cangkerang pengendalian UNIX, termasuk BASH dan ZSH.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang menggunakan Terminal dan mencipta skrip, lihat Pengenalan Penskripan Cangkerang pada tapak web Pembangun Apple.
Nota: Terminal juga berguna semasa menyelesaikan masalah dengan Mac anda dengan Sokongan Apple. Anda disyorkan untuk tidak memadamkannya.