Idea untuk pintasan tersuai
Untuk mengenal pasti tugas untuk dijalankan menggunakan pintasan, perhatikan cara anda menggunakan iPhone, iPad dan Mac sepanjang hari. Jelas bahawa tugas yang anda lakukan beberapa kali sehari ialah calon pintasan ideal. Namun begitu, terdapat banyak peluang lain: Tugas apa yang mengambil masa terlalu lama? Apa yang anda tidak boleh lakukan dalam app yang anda sedang gunakan? Apa yang paling leceh? Anda akan mula mengenali saat ini sebagai peluang untuk mencipta pintasan (terutamanya selepas anda menyemak tindakan yang tersedia dalam app Pintasan).
Pertimbangkan yang berikut:
Jika anda ialah pelajar: Cipta pintasan untuk mengurus kerja rumah dan peringatan peperiksaan, belajar dengan kad imbas, jana masalah contoh, atau terjemah teks antara bahasa.
Jika anda berulang-alik setiap hari: Cipta pintasan untuk melihat masa transit, semak mesyuarat anda untuk hari ini, atau dengar tajuk berita teratas dibaca kuat.
Jika anda pentingkan kesihatan: Cipta pintasan untuk merekod bahan yang anda makan dan minum, aktiviti senaman anda, tidur anda, atau kesihatan reproduktif anda.
Jika anda gemar mendengar muzik: Cipta pintasan untuk memainkan senarai main kegemaran anda, menambah lagu pada senarai main, memaparkan lirik, atau berkongsi lagu kegemaran anda.
Jika anda suka makan di luar, beli kopi, atau singgah di kedai minum: Cipta pintasan untuk mencari arah ke tempat berdekatan, menjemput rakan untuk menyertai, membuat tempahan, mengira tip, membuat pesanan melalui telefon, atau log pendapat anda.
Jika anda kerap berkomunikasi dengan rakan dan yang tersayang: Cipta pintasan untuk menghantar mesej teks bertemplat, mengedit foto anda, membuat panggilan telefon atau FaceTime dengan cepat, atau untuk mencipta dan berkongsi GIF atau kolaj foto.
Jika anda berkongsi perbelanjaan dengan rakan atau suka membelanjakan wang: Cipta pintasan untuk menghantar atau meminta bayaran menggunakan Apple Pay atau app tunai lain.
Tugas yang melibatkan terlalu banyak ketikan pada peranti iOS atau iPadOS anda ialah calon yang ideal untuk pintasan. Automasi berguna yang mengurangkan bilangan ketikan yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.
App pihak ketiga yang tidak memenuhi keperluan anda sepenuhnya ialah calon lain yang ideal untuk automasi. Dengan membina pintasan yang berintegrasi dengan app pihak ketiga, anda tidak dibataskan oleh pilihan yang ditawarkan pembangun app dan anda boleh mencipta lebih alat diperibadikan.
Petua: Anda boleh menambah pintasan yang dicadangkan oleh app lain sebagai tindakan dalam pintasan tersuai anda. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat Navigasi senarai tindakan dalam Pintasan.