Perihal tindakan dapatkan dalam Pintasan
Tindakan Dapatkan mengumpul kandungan dan menambahnya ke pintasan. Semasa anda membina pintasan anda, anda boleh mencari tindakan dapatkan menggunakan kata kunci seperti dapatkan, cari dan pilih. Tindakan seperti Dapatkan Foto Terkini, Cari Perniagaan Tempatan dan Cari Muzik mencari dalam app masing-masing, mendapatkan kandungan dan kemudian menghantarnya kepada tindakan seterusnya.
Tambahan lagi, terdapat tindakan yang membenarkan anda memasukkan data secara terus dalam pintasan, secara manual atau menggunakan pemboleh ubah. Tindakan ini termasuklah Tarikh, Alamat Jalan, Nombor Telefon, Teks, Kenalan, Alamat E-mel, Kamus, Senarai, URL dan sebagainya. Menggunakan tindakan ini membolehkan anda menyerahkan jenis kandungan khusus kepada tindakan lain dalam pintasan anda.
Apabila mengumpulkan tindakan di permulaan pintasan anda, tanya diri anda, “Maklumat apa yang perlu diambil oleh pintasan saya setiap kali ia dijalankan?” Jawapan soalan ini akan membantu anda menentukan tindakan yang anda mungkin perlukan. Mungkin pintasan anda perlu mendapatkan foto, muzik, video, atau data kesihatan yang disimpan pada peranti anda, ambil kandungan daripada Internet, atau meminta anda memasukkan teks (menggunakan tindakan Minta Input).