Tambah kawalan pada sel dalam Numbers pada Mac
Anda boleh menambahkan kawalan pada sel jadual—termasuk kotak semak, penilaian bintang, gelangsar, peningkat dan menu timbul—yang membolehkan anda mengemas kini data dalam jadual anda secara dinamik.
Tambah kotak semak atau penilaian bintang pada sel
Anda boleh tambah kotak semak kepada sel untuk mencipta senarai semak. Sel dengan kotak semak hanya boleh mempunyai nilai sama ada 1 atau “true” (dipilih) atau 0 atau “false” (dinyahpilih).
Penilaian bintang dalam sel, yang berguna untuk menilai atau menaraf item dalam senarai, boleh jadi dari kosong ke lima bintang. Jika anda menggunakan penilaian bintang dalam formula, penilaian ditafsirkan sebagai nilai angkanya.
Pilih sel yang anda mahu formatkan.
Dalam bar sisi Format , klik tab Sel, kemudian klik menu timbul Format Data dan pilih Kotak Semak atau Penilaian Bintang.
Lakukan mana-mana daripada berikut:
Pilih atau nyahpilih kotak semak: Klik padanya.
Pilih atau nyahpilih berbilang kotak semak: Pilih sel, kemudian tekan 1 untuk memilih semua kotak semak atau 0 untuk menyahpilih semua kotak semak.
Togol berbilang kotak semak: Pilih sel, kemudian tekan bar Space untuk menukar semua kotak semak. Kotak semak ditogol berdasarkan pada kotak semak kiri atas dalam pilihan. Jika kotak semak dipilih, semua kotak semua dinyahpilih dan sebaliknya.
Masukkan penilaian: Pilih sel, kemudian klik titik dalam sel.
Setkan penilaian untuk berbilang sel: Pilih sel, kemudian tekan 0, 1, 2, 3, 4 atau 5 untuk mengesetkan semua penilaian kepada nilai tersebut.
Anda juga boleh mengeset penilaian di tengah-tengah antara dua nilai, seperti 1.5.
Tambah atau kurangkan penilaian untuk berbilang sel: Pilih sel, kemudian tekan + untuk menambah atau - untuk mengurangkan nilai.
Tambah gelangsar atau peningkat pada sel
Gelangsar dan peningkat membenarkan anda mengubah-ubah nilai dalam sel anda (dalam julat), satu persatu, untuk melihat cara variasi memberi impak pada data atau carta keseluruhan anda. Anda boleh menentukan julat variasi untuk nilai sel.
Pilih sel yang anda mahu formatkan.
Dalam bar sisi Format , klik tab Sel, kemudian klik menu timbul Format Data dan pilih Gelangsar atau Peningkat.
Lakukan mana-mana daripada berikut:
Setkan nilai yang dipaparkan pada permulaan julat peluncur atau peningkat: Masukkan nilai dalam medan Minimum.
Setkan nilai yang dipaparkan pada penghujung julat peluncur atau peningkat: Masukkan nilai dalam medan Maksimum.
Setkan bilangan unit antara setiap titik henti pada peluncur atau peningkat: Masukkan nilai dalam medan Tokokan.
Formatkan data sel: Klik menu timbul Format dan pilih pilihan, kemudian gunakan kawalan tambahan untuk menyatakan pilihan pemformatan lain (nombor tempat perpuluhan dan sebagainya).
Tambah menu timbul pada sel
Anda boleh menambah menu timbul pada sel, kemudian tentukan item yang muncul dalam menu timbul.
Numbers mengenali item menu yang mempunyai nilai angka, termasuk tarikh dan tempoh dan juga teks. Formula boleh merujuk pada sel yang mana menu timbul ditetapkan kepada item angka.
Pilih sel yang anda mahu formatkan.
Dalam bar sisi Format , klik tab Sel.
Klik menu timbul Format Data dan pilih Menu Timbul.
Sekiranya beberapa atau kesemua sel yang dipilih telah mengandungi data, pilihan menu timbul yang muncul ialah nilai daripada sel yang dipilih, untuk sehingga 250 sel (kotak semak ditafsirkan sebagai teks “true” atau “false”, manakala penilaian bintang diberi dengan nilai angka di antara 0 dan 5). Anda boleh mengedit pilihan ini jika anda mahu. Nilai yang berulang dalam sel yang dipilih dikendalikan sebagai item menu timbul tunggal. Menu timbul dalam setiap sel disetkan kepada nilai asal sel.
Jika semua sel yang anda pilih adalah kosong, pilihan menu timbul ialah item ruang letak (contohnya, "Item 1").
Dalam senarai pilihan yang muncul di bawah Menu Timbul, dwiklik item (nilai yang dipraisi atau ruang letak), kemudian taipkan teks yang anda mahu muncul dalam menu timbul.
Ulangi proses ini untuk setiap item yang anda mahu tukar.
Untuk menambah item lain dalam menu timbul, klik di bawah senarai pilihan menu timbul, kemudian taipkan teks yang anda mahu muncul.
Anda boleh menambah sehingga 250 item menu timbul.
Tentukan cara menu timbul muncul:
Susun semula item: Seretnya ke atas atau bawah dalam senarai pilihan menu.
Biarkan sel kosong jika tiada item dipilih: Pilih "Mula dengan Kosong" daripada menu timbul di bawah senarai pilihan.
Paparkan item pertama dalam menu timbul sebagai entri lalai untuk sel yang mana item tidak dipilih: Pilih "Mula dengan Item Pertama" daripada menu timbul.
Padam item: Klik padanya, kemudian klik .
Semasa menavigasi jadual, anda boleh memilih sel dengan menu timbul, tekan bar Space untuk membuka menu, gunakan kekunci anak panah untuk menavigasi pilihan, kemudian tekan bar Space bagi memilih nilai.
Keluarkan atau tukar kawalan
Anda boleh mengeluarkan kawalan daripada sel jadual dan menjadikannya sel tanpa format yang kosong atau anda boleh menukar sel kepada format yang berbeza.
Pilih sel atau julat sel.
Lakukan salah satu daripada berikut:
Keluarkan semua kandungan daripada sel: Tekan Delete.
Tukar jenis kawalan: Dalam bar sisi Format , klik tab Sel, kemudian klik menu timbul Format Data dan pilih pilihan lain.
Apabila anda menukar pilihan Format Data yang dipilih, nilai sel ditukarkan daripada satu jenis kepada yang lain. Contohnya, sekiranya sel pada asalnya mengandungi menu timbul dan anda menukarnya kepada format teks, sel tersebut mengekalkan kandungannya sebagai teks. Ataupun, sekiranya sel pada asalnya mengandungi pelangkah dan anda menukarnya kepada format nombor, sel tersebut mengekalkan nilai asalnya sebagai nombor statik.
Bukan semua jenis data boleh ditukar (contohnya, senarai item teks dalam menu timbul tidak boleh ditukar kepada format nombor). Sekiranya anda cuba menukar kepada format sel yang tidak serasi, kawalan sel tidak dikeluarkan daripada sel tersebut.