Gunakan Servis Penggantian Ekspres untuk iPad anda
Dengan Servis Penggantian Ekspres, anda akan menerima kit yang mengandungi iPad gantian anda dan semua yang anda perlukan untuk menghantar balik iPad anda yang asal kepada Apple.
Perihal Servis Penggantian Ekspres
Dengan Servis Penggantian Ekspres, Apple menghantar iPad gantian kepada anda dahulu — agar anda tidak perlu menunggu pembaikan.
Selepas anda menerima iPad gantian anda, gunakan kotak yang sama untuk menghantar kembali iPad anda yang asal dengan segera. Apple mesti menerima iPad anda yang asal dalam masa sepuluh hari selepas gantian anda dikirimkan. Cari tarikh pengiriman iPad gantian anda
iPad gantian anda dilindungi selama 90 hari atau mengikut baki waranti produk asal anda, mana-mana yang lebih panjang. Perlindungan ini ialah tambahan kepada apa-apa hak yang diberikan oleh undang-undang perlindungan pengguna di negara atau rantau anda atau mana-mana pelan AppleCare+.
Sebelum anda mengembalikan iPad anda yang asal
Sandarkan iPad anda:
Padamkan iPad anda untuk memadamkan maklumat peribadi anda dan mengeluarkan peranti daripada Akaun Apple anda: Dalam Seting, ketik Umum > Pindah atau Set Semula iPad, kemudian ketik Padam Semua Kandungan dan Seting. Anda perlu memasukkan kata laluan Akaun Apple anda untuk membuat pengesahan.
Jika anda mempunyai model iPad Wi-Fi + Cellular:
Jika iPad anda menggunakan SIM fizikal, keluarkan SIM.
Jika iPad anda menggunakan eSIM, hubungi pembekal wayarles anda bagi mendapatkan eSIM baharu untuk peranti gantian anda atau gantung perkhidmatan jika perlu.
Bungkus iPad anda yang asal
Kit Servis Penggantian Ekspres anda mengandungi semua yang anda perlukan untuk membungkus dan menghantar iPad anda yang asal kepada Apple, termasuk kotak yang digunakan untuk menghantar iPad gantian anda — sebuah kotak kecil untuk memasukkan peranti anda dan sebuah kotak pengiriman yang lebih besar untuk membungkus kotak kecil.
Jangan sertakan barang lain dalam kotak — seperti sarung iPad, penyesuai kuasa, kabel atau aksesori lain. Jika anda menyertakan item tambahan dalam kotak, item tersebut tidak akan dikembalikan.
Masukkan iPad anda yang asal ke dalam kotak kecil berwarna putih atau semula jadi yang digunakan untuk menghantar iPad gantian anda.
Letakkan kotak kecil di dalam kotak pengiriman lebih besar yang dihantar kepada anda. Jika terdapat pelekat bateri yang ditampalkan di bahagian luar kotak, pastikan pelekat itu tidak dilitupi pita atau label pengiriman.
Kirim iPad anda yang asal kepada Apple
Untuk mengaturkan masa bagi kurier mengambil iPad anda, hubungi Perkhidmatan Pelanggan GD Express Malaysia di 03-7787-6776 (Isnin hingga Jumaat dari jam 8:30 pagi hingga 5:30 petang atau Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 12:30 petang.)
Beritahu perkhidmatan pelanggan bahawa anda menggunakan perkhidmatan pengembalian prabayar dan berikan nombor ID Pembaikan daripada e-mel yang anda terima apabila anda meminta penggantian iPad anda.
Apabila kurier tiba, ambil label AWB Pengembalian yang disediakan dan tampalkan pada kotak pengiriman yang anda gunakan untuk membungkuskan iPad anda yang asal.
Pastikan anda mendapatkan bukti pengambilan daripada kurier untuk mengesahkan bahawa anda telah mengembalikan iPad anda yang asal.
Apple tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kerosakan semasa pengiriman