Gunakan Pelayaran Peribadi dalam Safari pada Mac
Apabila anda melayari secara peribadi, butiran pelayaran anda tidak disimpan dan tapak web yang anda lawati tidak dikongsi dengan peranti anda yang lain.
Layar secara peribadi satu kali
Dalam app Safari pada Mac anda, pilih Fail > Tetingkap Peribadi Baharu, atau bertukar ke tetingkap peribadi yang telah pun dibuka. Tetingkap peribadi mempunyai medan Carian Pintar gelap dengan teks berwarna putih.
Apabila anda menggunakan tetingkap peribadi:
Pelayaran yang dimulakan dalam satu tab diasingkan daripada pelayaran yang dimulakan dalam tab lain, supaya tapak web yang anda lawati tidak boleh menjejak pelayaran anda merentas berbilang sesi.
Halaman web yang anda lawati dan maklumat Isi Auto anda tidak disimpan.
Halaman web anda yang terbuka tidak disimpan dalam iCloud, jadi mereka tidak ditunjukkan apabila anda melihat semua tab terbuka anda daripada peranti lain.
Carian terbaru anda tidak dimasukkan dalam senarai hasil apabila anda menggunakan medan Carian Pintar.
Item yang anda muat turun tidak dimasukkan dalam senarai muat turun. (Item akan kekal pada komputer anda.)
Jika anda menggunakan Handoff, tetingkap peribadi tidak dihantar ke iPhone, iPad, iPod touch, atau komputer Mac lain anda.
Perubahan pada kuki anda atau data tapak web tidak disimpan.
Tapak web tidak dapat mengubah suai maklumat yang disimpan pada peranti anda, jadi perkhidmatan yang biasanya tersedia di tapak tersebut mungkin berfungsi berlainan sehingga anda menggunakan tetingkap bukan peribadi.
Nota: Tiada satu pun yang di atas digunakan dalam tetingkap Safari bukan peribadi yang anda mungkin telah buka.
Sentiasa layar secara peribadi
Dalam app Safari pada Mac anda, pilih Safari > Keutamaan, kemudian klik Umum.
Klik menu timbul “Safari buka dengan”, kemudian pilih “Tetingkap peribadi baru.”
Jika anda tidak melihat pilihan ini, pilih menu Apple > Keutamaan Sistem, klik Umum, kemudian pastikan “Tutup tetingkap apabila keluar daripada app” dipilih.
Berhenti layar secara peribadi
Dalam app Safari pada Mac anda, tutup tetingkap peribadi, bertukar ke tetingkap Safari bukan peribadi, atau pilih Fail > Tetingkap Baharu untuk membuka tetingkap bukan peribadi. Untuk mempertingkatkan privasi lebih lanjut:
Padam sebarang item yang anda muat turun semasa menggunakan tetingkap peribadi.
Tutup sebarang tetingkap peribadi lain yang masih terbuka, untuk mencegah orang lain daripada menggunakan butang Kembali dan Ke Hadapan untuk melihat halaman yang anda lawati.
Di samping menggunakan tetingkap peribadi, anda boleh mengurus kuki dan data yang disimpan oleh semua tapak web dan menghalang penjejakan silang tapak.
Jika anda terlupa menggunakan tetingkap peribadi, anda boleh kosongkan sejarah pelayaran anda.