Melindungi Mac anda daripada perisian hasad
macOS mempunyai banyak ciri yang membantu melindungi Mac anda dan maklumat peribadi anda dari perisian berniat jahat, atau perisian hasad. Satu cara biasa perisian hasad diagihkan adalah dengan membenamkannya dalam app yang kelihatan tidak berbahaya.
Anda boleh kurangkan risiko ini dengan menggunakan perisian hanya dari sumber yang boleh dipercayai. Seting dalam keutamaan Keselamatan & Privasi membenarkan anda untuk tentukan sumber perisian yang dipasang pada Mac anda.
Pilih menu Apple > Keutamaan Sistem, klik Keselamatan & Privasi, kemudian klik Umum.
Klik ikon kunci untuk membuka kuncinya, kemudian masukkan nama dan kata laluan pentadbir.
Pilih sumber dari mana anda membenarkan perisian untuk dipasang:
App Store: Benarkan app daripada Mac App Store sahaja. Ini adalah seting paling selamat. Semua pembangun app dalam Mac App Store dikenal pasti oleh Apple dan setiap app disemak sebelum diterima. macOS menyemak app sebelum ia dibuka untuk kali pertama untuk memastikan app tersebut tidak diubah suai sejak pembangun menghantarnya. Jika terdapat apa-apa masalah dengan app, Apple akan mengeluarkannya daripada Mac App Store.
App Store dan pembangun dikenal pasti: Benarkan app daripada Mac App Store dan app daripada pembangun yang dikenal pasti. Walaupun app daripada luar Mac App Store tidak disemak semula, pembangun yang dikenal pasti telah didaftarkan dengan Apple. Jika masalah timbul dengan app, Apple boleh membatalkan kebenarannya. macOS menyemak app sebelum ia dibuka untuk kali pertama untuk memastikan app tersebut tidak diubah suai sejak pembangun menghantarnya.
Selain daripada app, jenis fail lain mungkin tidak selamat. Skrip, arkib web dan arkib Java mempunyai potensi menyebabkan kerosakan kepada sistem anda. Sudah tentu, tidak semua fail seperti ini adalah tidak selamat, tetapi anda seharusnya berwaspada apabila membuka sebarang fail yang dimuat turunkan. Amaran muncul apabila anda mencuba untuk membuka fail ini dahulu. Untuk maklumat lanjut, lihat Buka app dengan melangkaui seting keselamatan.