Pilih cakera sandaran dan setkan pilihan penyulitan pada Mac
Aktifkan Time Machine, tambah cakera sandaran atau ubah kepada yang berlainan, atau laraskan seting lain.
Nota: Anda mungkin mahu sediakan Time Machine pada waktu petang supaya sandaran awalan boleh dilakukan semalaman. Jika anda sandarkan kepada Time Capsule atau AirPort Extreme (802.11ac), sandaran awalan mungkin lebih cepat jika Mac anda di dalam ruang yang sama seperti Time Capsule atau AirPort Extreme (802.11ac), atau jika anda bersambung Mac anda kepada satu daripada port Ethernet pada Time Capsule atau AirPort Extreme (802.11ac). Sandaran berikutnya mengambil masa yang kurang.
Pada Mac anda, pilih menu Apple > Keutamaan Sistem, kemudian klik Time Machine .
Klik Pilih Cakera Sandaran, Pilih Cakera, atau Tambah atau Keluarkan Cakera Sandaran.
Pilihan yang anda nampak bergantung pada sama ada anda mempunyai satu atau lebih cakera sandaran yang telah disediakan.
Pilih cakera daripada senarai cakera sandaran dan cakera yang tersedia.
Time Machine tidak boleh disandarkan ke cakera yang diformatkan untuk Windows. Jika anda menyambung cakera yang diformatkan untuk Windows, ia boleh diformatkan semula (memadamkan semua data secara kekal) kepada format sistem fail Mac dan menggunakannya sebagai cakera sandaran.
Untuk meningkatkan keselamatan, pilih “Sulitkan sandaran.”
Penyulitan tidak tersedia jika anda menggunakan cakera yang disambungkan terus ke Mac anda yang diformatkan menggunakan Peta Petak Apple (APM) atau petak Rekod But Induk (MBR) dan cakera mempunyai lebih dari satu petak.
Jika kotak semak dimalapkan, tahan penuding ke atasnya buat seketika untuk melihat penjelasan; sebagai contoh, cakera yang dipilih mungkin perlu diformatkan semula atau dipetakkan semula. Jika tiada penjelasan muncul, cakera yang dipilih tidak menyokong penyulitan.
Klik Gunakan Cakera.
Jika anda telah pun menyediakan satu cakera lain, klik Gantikan [nama cakera] atau Guna Kedua-duanya.
Jika anda telah mempunyai berbilang cakera sandaran, anda tidak akan nampak pilihan ini.
Jika anda diminta untuk memformatkan semula cakera, sama ada format semula cakera atau pilih cakera lain.
Penting: Memformatkan semula memadamkan semua fail pada cakera, jadi lakukan ini hanya jika anda tidak lagi memerlukan fail tersebut atau telah menyalinnya kepada cakera berlainan.
Jika anda memilih “Sulitkan sandaran” (dalam langkah 4), taipkan kata laluan untuk cakera sandaran.
Anda mungkin perlu membekalkan kata laluan apabila anda bersambung cakera ke Mac anda, atau apabila anda memutuskan sambungan cakera atau mulakan semula Mac anda.
Jika anda sebelum ini telah menggunakan Time Capsule atau cakera dirangkaikan untuk sandaran tidak disulitkan dan mahu aktifkan penyulitan sekarang, Time Machine mesti mula-mula memadamkan sandaran yang tidak disulitkan sebelum memulakan sandaran disulitkan.
Untuk menggunakan beberapa cakera sandaran, ulangi langkah ini untuk setiap cakera.
Time Machine berfungsi terbaik jika anda menggunakan cakera sandaran anda hanya untuk sandaran Time Machine . Jika anda menyimpan fail pada cakera sandaran anda, Time Machine tidak akan sandarkan fail tersebut dan ruang tersedia untuk sandaran Time Machine dikurangkan.