Aktifkan dan berlatih menggunakan VoiceOver pada iPad
Dengan VoiceOver—gerak isyarat berdasarkan pembaca skrin—anda boleh menggunakan iPad walaupun anda tidak boleh melihat skrin. VoiceOver memberikan perihalan yang boleh didengari untuk perkara pada skrin anda—contohnya, mendengar paras bateri, orang yang memanggil atau item pada jari anda. Anda juga boleh menyesuaikan suara pertuturan VoiceOver agar sesuai untuk keperluan anda.
Apabila anda sentuh skrin atau seret jari anda di atasnya, VoiceOver menyebut nama item pada jari anda, termasuk ikon dan teks. Untuk berinteraksi dengan item, seperti butang atau pautan, atau untuk menavigasi ke item lain, gunakan gerak isyarat VoiceOver.
Apabila anda pergi ke skrin baharu, VoiceOver memainkan bunyi, kemudian memilih dan menyebut nama item pertama pada skrin (selalunya di penjuru kiri atas). VoiceOver memaklumkan anda apabila skrin berubah ke orientasi landskap atau potret, apabila skrin menjadi malap atau dikunci dan perkara yang aktif pada Skrin Kunci apabila anda bangunkan iPad.
Aktifkan atau nyahaktifkan VoiceOver
Penting: VoiceOver menukar gerak isyarat yang anda gunakan untuk mengawal iPad. Apabila VoiceOver aktif, anda mesti menggunakan gerak isyarat VoiceOver untuk mengendalikan iPad.
Untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan VoiceOver, lakukan mana-mana yang berikut:
Pergi ke Seting
> Kebolehcapaian > VoiceOver, kemudian aktifkan atau nyahaktifkan VoiceOver.Gunakan Pusat Kawalan jika anda telah menambah VoiceOver di sana.
Gunakan Pintasan Kebolehcapaian jika anda telah menyediakannya untuk mengaktifkan VoiceOver.
Siri: Minta Siri sesuatu seperti, “Aktifkan VoiceOver”. Ketahui cara menggunakan Siri.
Siri mengetahui apabila VoiceOver aktif dan kerap membaca lebih maklumat kepada anda berbanding kelihatan pada skrin. Anda juga boleh menggunakan VoiceOver untuk membaca apa yang Siri paparkan di skrin.
Gunakan tutorial interaktif untuk mempelajari VoiceOver
Anda boleh mempelajari asas VoiceOver dan melatih gerak isyarat penting dengan Tutorial VoiceOver interaktif.
Dengan VoiceOver diaktifkan, pergi ke Seting
> Kebolehcapaian > VoiceOver, kemudian Tutorial VoiceOver untuk bermula.
Berlatih menggunakan gerak isyarat VoiceOver
Anda boleh menggunakan kawasan Latihan VoiceOver untuk mencuba gerak isyarat VoiceOver dengan selamat dan mendengar perkara yang ia lakukan—tanpa melakukan sebarang tindakan yang sebaliknya menjejaskan iPad.
Cuba teknik berlainan untuk menentukan teknik yang terbaik bagi anda. Jika gerak isyarat tidak berfungsi, cuba pergerakan yang lebih cepat, terutamanya untuk dwiketik atau gerak isyarat leret. Untuk meleret, cuba sapu pada skrin dengan cepat dengan jari-jari anda. Untuk hasil terbaik menggunakan gerak isyarat berbilang jari, sentuh skrin dengan sedikit ruang di antara jari anda.
Pergi ke Seting
> Kebolehcapaian > VoiceOver.Aktifkan VoiceOver, ketik Latihan VoiceOver, kemudian dwiketik untuk bermula.
Berlatih gerak isyarat berikut dengan satu, dua, tiga dan empat jari:
Ketik
Dwiketik
Ketik tiga kali
Leret ke kiri, kanan, atas, atau bawah
Apabila anda selesai berlatih, ketik Selesai, kemudian dwiketik untuk keluar.