Bateri dan prestasi iPhone
Fahami prestasi iPhone dan perkaitan dengan bateri anda.
iPhone anda direka bentuk agar menjadi ringkas dan mudah digunakan. Ini hanya boleh dilakukan melalui gabungan teknologi lanjutan dan kejuruteraan yang canggih. Satu bidang teknologi yang penting ialah bateri dan prestasi. Bateri ialah teknologi yang kompleks, dan beberapa pemboleh ubah menyumbang kepada prestasi bateri dan prestasi iPhone yang berkaitan. Semua bateri boleh dicas semula ialah komponen guna habis dan mempunyai jangka hayat yang terhad—akhirnya kapasiti dan prestasi bateri itu akan merosot sehingga perlu diganti. Ketahui lebih lanjut tentang bateri iPhone dan cara penuaan bateri boleh menjejaskan prestasi iPhone.
Perihal bateri ion litium
Bateri iPhone menggunakan teknologi ion litium. Berbanding dengan teknologi bateri generasi lama, bateri ion litium mengecas lebih cepat, bertahan lebih lama dan mempunyai ketumpatan kuasa yang lebih tinggi untuk hayat bateri yang lebih lama dalam pakej yang lebih ringan. Teknologi ion litium boleh dicas semula pada masa ini menyediakan teknologi yang terbaik untuk peranti anda. Ketahui lebih lanjut tentang bateri ion litium.
Cara untuk memaksimumkan prestasi bateri
"Hayat bateri" ialah jumlah masa peranti berjalan sebelum bateri itu perlu dicas semula. "Jangka hayat bateri" ialah jumlah masa bateri bertahan sehingga bateri itu perlu diganti. Cara anda menggunakan peranti anda mempengaruhi hayat dan jangka hayat bateri, tetapi tidak kira cara anda menggunakan peranti anda, terdapat cara untuk membantu. Jangka hayat bateri berkaitan dengan "penuaan kimia" yang bukan sekadar melibatkan peredaran masa. Ini termasuk faktor yang berbeza, seperti bilangan kitaran pengecasan dan cara bateri itu dijaga.
Ketahui cara memaksimumkan prestasi bateri dan membantu dalam melanjutkan jangka hayat bateri. Sebagai contoh:
Pastikan iPhone anda dicas separuh apabila disimpan untuk jangka masa panjang.
Elakkan daripada mengecas atau meninggalkan iPhone anda dalam persekitaran yang panas, termasuk pendedahan kepada cahaya matahari secara langsung, untuk tempoh masa yang lama.
Bateri akan mengalami penuaan secara kimia
Semua bateri boleh dicas semula ialah komponen guna habis yang menjadi kurang berkesan apabila mengalami penuaan secara kimia.
Apabila bateri ion litium mengalami penuaan secara kimia, jumlah cas yang boleh disimpan akan berkurangan, mengakibatkan jumlah masa yang lebih pendek sebelum peranti perlu dicas semula. Ini boleh dirujuk sebagai kapasiti maksimum bateri—ukuran kapasiti bateri berbanding dengan keadaan apabila bateri itu masih baharu. Di samping itu, keupayaan bateri untuk menyampaikan prestasi yang maksimum secara serta-merta, atau "kuasa puncak", mungkin berkurangan. Untuk telefon berfungsi dengan baik, komponen elektronik mesti boleh menggunakan kuasa dengan serta-merta daripada bateri. Satu atribut yang mempengaruhi penghantaran kuasa serta-merta ini ialah impedans bateri. Bateri dengan impedans yang tinggi mungkin tidak dapat membekalkan kuasa yang mencukupi kepada sistem yang memerlukan. Impedans bateri boleh meningkat jika bateri mempunyai penuaan kimia yang lebih tinggi. Impedans bateri akan meningkat buat sementara waktu pada keadaan cas rendah dan dalam persekitaran suhu yang sejuk. Apabila digabungkan dengan penuaan kimia yang lebih tinggi, peningkatan impedans akan menjadi lebih ketara. Ini merupakan ciri kimia bateri yang biasa kepada semua bateri ion litium dalam industri.
Apabila peranti menarik kuasa daripada bateri dengan tahap impedans yang lebih tinggi, voltan bateri akan mengalami penurunan yang lebih besar. Komponen elektronik memerlukan voltan minimum untuk beroperasi dengan betul. Ini termasuk storan dalaman peranti, litar kuasa dan bateri itu sendiri. Sistem pengurusan kuasa menentukan keupayaan bateri untuk membekalkan kuasa ini dan mengurus beban untuk mengekalkan operasi. Apabila operasi tidak lagi boleh disokong dengan keupayaan penuh sistem pengurusan kuasa, sistem akan melakukan penutupan untuk mengekalkan komponen elektronik ini. Walaupun penutupan ini disengajakan dari perspektif peranti, perkara ini mungkin tidak dijangka oleh pengguna.
Mencegah penutupan yang tidak dijangka
Anda lebih berkemungkinan mengalami penutupan yang tidak dijangka apabila bateri anda mempunyai keadaan cas yang rendah, penuaan kimia yang lebih tinggi atau apabila anda berada dalam suhu yang lebih sejuk. Dalam kes yang melampau, penutupan boleh berlaku lebih kerap, lalu menjadikan peranti tidak stabil atau tidak boleh digunakan. Untuk iPhone 6, iPhone 6 Plus, iPhone 6s, iPhone 6s Plus, iPhone SE (1st generation), iPhone 7 dan iPhone 7 Plus, iOS mengurus puncak prestasi secara dinamik untuk mengelakkan peranti daripada ditutup secara tidak dijangka, supaya anda masih boleh menggunakan iPhone anda. Ciri pengurusan prestasi ini khusus untuk iPhone dan tidak digunakan pada mana-mana produk Apple yang lain. Bermula dengan iOS 12.1, iPhone 8, iPhone 8 Plus dan iPhone X termasuk ciri ini; iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR menyertakan ciri ini bermula dengan iOS 13.1. Ketahui tentang pengurusan prestasi pada iPhone 11 dan lebih baharu.
Pengurusan prestasi iPhone berfungsi dengan melihat gabungan suhu peranti, keadaan cas bateri dan impedans bateri. iOS akan mengurus prestasi maksimum sesetengah komponen sistem secara dinamik, seperti CPU dan GPU, hanya jika diperlukan oleh pemboleh ubah tersebut bagi mengelakkan penutupan yang tidak dijangka. Oleh hal yang demikian, beban kerja peranti akan mengimbangi diri, lalu membolehkan pengagihan tugas sistem yang lebih lancar, dan bukannya lonjakan prestasi yang lebih besar dan cepat sekali gus. Dalam sesetengah keadaan, anda mungkin tidak melihat sebarang perbezaan pada prestasi peranti. Tahap perubahan yang dirasakan bergantung pada kadar pengurusan prestasi yang diperlukan untuk peranti anda.
Dalam keadaan yang memerlukan pengurusan prestasi yang lebih melampau, anda mungkin melihat kesan seperti:
Masa pelancaran aplikasi yang lebih lama
Kadar bingkai yang lebih rendah semasa menatal
Pemalapan lampu latar (yang boleh digantikan dalam Pusat Kawalan)
Kelantangan pembesar suara yang lebih rendah hingga -3dB
Pengurangan kadar bingkai secara beransur-ansur dalam sesetengah aplikasi
Dalam keadaan yang paling melampau, denyar kamera akan dinyahdayakan seperti yang boleh dilihat dalam UI kamera
Aplikasi yang dimuat semula di latar belakang mungkin memerlukan muat semula semasa dilancarkan
Banyak bahagian penting yang tidak terjejas oleh ciri pengurusan prestasi ini. Sebahagian daripada ini termasuk:
Kualiti panggilan selular dan prestasi pemprosesan rangkaian
Kualiti foto dan video yang ditangkap
Prestasi GPS
Ketepatan lokasi
Penderia seperti giroskop, akselerometer, barometer
Apple Pay
Untuk keadaan cas bateri yang rendah dan suhu yang lebih sejuk, perubahan pengurusan prestasi adalah bersifat sementara. Jika bateri peranti telah mengalami penuaan secara kimia yang cukup lama, perubahan pengurusan prestasi mungkin lebih berkekalan. Hal ini demikian kerana semua bateri boleh dicas semula ialah bahan guna habis dan mempunyai jangka hayat yang terhad, yang akhirnya perlu diganti. Jika anda terjejas oleh perkara ini dan ingin meningkatkan prestasi peranti anda, penggantian bateri peranti anda boleh membantu.
Untuk iOS 11.3 dan lebih baharu
iOS 11.3 dan lebih baharu meningkatkan pengurusan prestasi dengan menilai tahap pengurusan prestasi yang diperlukan secara berkala untuk mengelakkan penutupan yang tidak dijangka. Jika kesihatan bateri dapat menyokong keperluan kuasa puncak yang diperhatikan, kadar pengurusan prestasi akan dikurangkan. Jika penutupan yang tidak dijangka berlaku lagi, pengurusan prestasi akan meningkat. Penilaian ini adalah berterusan untuk membolehkan pengurusan prestasi yang lebih adaptif.
Untuk memaksimumkan prestasi sistem keseluruhan, iPhone 8 dan lebih baharu menggunakan reka bentuk perkakasan dan perisian canggih yang memberikan anggaran yang lebih tepat bagi keperluan kuasa dan juga keupayaan kuasa bateri. Ini membolehkan iOS menjangkakan dan mengelakkan penutupan yang tidak dijangka dengan lebih tepat. Oleh hal yang demikian, kesan pengurusan prestasi mungkin kurang ketara pada iPhone 8 dan lebih baharu. Lama kelamaan, bateri boleh dicas semula dalam semua model iPhone akan berkurangan dari segi kapasiti dan prestasi puncak dan akhirnya perlu diganti.

Kesihatan Bateri
Dengan iPhone 6 dan lebih baharu, iOS menambahkan ciri baharu untuk menunjukkan kesihatan bateri dan mengesyorkan jika anda perlu menggantikan bateri. Anda boleh menemukan ini dalam Seting > Bateri > Kesihatan Bateri & Pengecasan (dengan iOS 16.0 atau lebih awal, temukan ini dalam Seting > Bateri > Kesihatan Bateri).
Selain itu, anda boleh melihat sama ada ciri pengurusan prestasi, yang mengurus prestasi maksimum secara dinamik untuk mengelakkan penutupan yang tidak dijangka, dihidupkan atau tidak dan anda boleh memilih untuk mematikan ciri itu. Ciri ini didayakan hanya selepas penutupan yang tidak dijangka mula-mula berlaku pada peranti dengan bateri yang mempunyai keupayaan yang berkurangan untuk menyampaikan kuasa yang maksimum secara serta-merta. Ciri ini digunakan untuk iPhone 6, iPhone 6 Plus, iPhone 6s, iPhone 6s Plus, iPhone SE (1st generation), iPhone 7 dan iPhone 7 Plus. Bermula dengan iOS 12.1, iPhone 8, iPhone 8 Plus dan iPhone X disertakan dengan ciri ini; iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR disertakan dengan ciri ini bermula dengan iOS 13.1. Ketahui tentang pengurusan prestasi pada iPhone 11 dan lebih baharu. Kesan pengurusan prestasi pada model yang lebih baharu ini mungkin kurang ketara disebabkan oleh reka bentuk perkakasan dan perisian yang lebih maju.
Pengurusan peranti untuk peranti yang dikemaskinikan daripada iOS 11.2.6 atau lebih awal pada mulanya akan dinyahdayakan; ciri ini akan didayakan semula jika peranti tersebut kemudiannya mengalami penutupan yang tidak dijangka.
Untuk memastikan bateri dan sistem keseluruhan beroperasi seperti yang direka bentuk dan komponen dalaman dilindungi, semua model iPhone disertakan dengan pengurusan prestasi asas. Ini termasuk tingkah laku dalam keadaan suhu yang panas atau sejuk, serta pengurusan voltan dalaman. Pengurusan prestasi jenis ini diperlukan untuk keselamatan dan fungsi yang dijangkakan, dan tidak boleh dimatikan.

Kapasiti maksimum bateri anda
Skrin Kesihatan Bateri mengandungi maklumat tentang kapasiti bateri maksimum dan keupayaan prestasi puncak.
Kapasiti bateri maksimum mengukur kapasiti bateri peranti berbanding dengan keadaan apabila bateri itu masih baharu. Bateri akan mempunyai kapasiti yang lebih rendah apabila bateri mengalami penuaan secara kimia, yang mungkin mengakibatkan kurang jam penggunaan antara pengecasan. Bergantung pada tempoh masa antara masa iPhone dibuat dengan masa iPhone diaktifkan, kapasiti bateri anda mungkin menunjukkan kurang sedikit daripada 100 peratus.
Bateri model iPhone 14 dan lebih awal direka bentuk bagi mengekalkan 80 peratus daripada kapasiti asal pada 500 kitaran pengecasan lengkap dalam keadaan yang ideal.1 Bateri model iPhone 15 direka bentuk bagi mengekalkan 80 peratus daripada kapasiti asalnya pada 1000 kitaran pengecasan lengkap dalam keadaan yang ideal.1 Dengan semua model, peratusan kapasiti yang tepat bergantung pada cara peranti biasa digunakan dan dicas. Waranti satu tahun (waranti dua tahun di Türkiye) adalah termasuk liputan perkhidmatan untuk bateri yang rosak sebagai tambahan kepada hak yang disediakan di bawah undang-undang pengguna tempatan. Jika waranti itu telah tamat, Apple menawarkan perkhidmatan bateri yang dikenakan caj. Ketahui lebih lanjut tentang kitaran pengecasan.
Apabila kesihatan bateri anda merosot, keupayaan bateri itu untuk menyampaikan prestasi puncak juga akan merosot. Skrin Kesihatan Bateri mempunyai bahagian untuk Keupayaan Prestasi Puncak yang mungkin akan menunjukkan mesej berikut.
Prestasi adalah normal
Apabila keadaan bateri boleh menyokong prestasi puncak normal dan tidak menggunakan ciri pengurusan prestasi, anda akan melihat mesej ini:
Bateri anda sedang menyokong prestasi puncak yang normal.

Pengurusan prestasi digunakan
Apabila ciri pengurusan prestasi telah digunakan, anda akan melihat mesej ini:
iPhone ini telah mengalami penutupan yang tidak dijangka kerana bateri tidak dapat menyampaikan kuasa puncak yang diperlukan. Pengurusan prestasi telah digunakan untuk membantu dalam mengelakkan perkara ini daripada berlaku lagi. Nyahdayakan...
Harap maklum bahawa jika anda menyahdayakan pengurusan prestasi, anda tidak boleh menghidupkan ciri ini semula. Ciri tersebut akan dihidupkan semula secara automatik jika penutupan yang tidak dijangka berlaku. Pilihan untuk penyahdayaan juga akan tersedia.

Pengurusan prestasi dimatikan
Jika anda menyahdayakan ciri pengurusan prestasi yang digunakan, anda akan melihat mesej ini:
iPhone ini telah mengalami penutupan yang tidak dijangka kerana bateri tidak dapat menyampaikan kuasa puncak yang diperlukan. Anda telah menyahdayakan perlindungan pengurusan prestasi secara manual.
Jika peranti mengalami penutupan yang tidak dijangka, ciri pengurusan prestasi akan digunakan semula. Pilihan untuk penyahdayaan juga akan tersedia.

Kesihatan bateri merosot
Jika kesihatan bateri telah merosot dengan ketara, mesej di bawah juga akan muncul:
Kesihatan bateri anda merosot dengan ketara. Pembekal Perkhidmatan Sah Apple boleh menggantikan bateri untuk memulihkan prestasi dan kapasiti penuh. Lebih lanjut tentang pilihan perkhidmatan...
Mesej ini tidak menunjukkan isu keselamatan. Anda masih boleh menggunakan bateri anda. Walau bagaimanapun, anda mungkin mengalami masalah bateri dan prestasi yang lebih ketara. Untuk meningkatkan pengalaman anda dengan bateri gantian baharu, dapatkan perkhidmatan.

Tidak dapat mengesahkan
Jika anda melihat mesej di bawah, ini bermaksud bateri dalam iPhone anda tidak dapat disahkan. Mesej ini meliputi iPhone XS, iPhone XS Max, iPhone XR dan lebih baharu.2
Tidak dapat mengesahkan iPhone ini mempunyai bateri Apple yang tulen. Butiran daripada bateri ini mungkin tidak tepat. Ketahui lebih lanjut...
Maklumat kesihatan bateri pada skrin ini mungkin tidak tepat. Untuk memeriksa bateri anda, dapatkan perkhidmatan.

Penentukuran semula pelaporan kesihatan bateri pada iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max
iOS 14.5 dan lebih baharu disertakan dengan kemas kini bagi menangani anggaran pelaporan kesihatan bateri yang tidak tepat untuk sesetengah pengguna. Sistem pelaporan kesihatan bateri akan menentukur semula kapasiti bateri maksimum dan keupayaan prestasi puncak pada iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max.
Ketahui lebih lanjut tentang penentukuran semula pelaporan kesihatan bateri dalam iOS 14.5
Ketahui tentang perkhidmatan dan kitar semula bateri
Apabila anda menggunakan iPhone anda, bateri iPhone itu akan melalui kitaran pengecasan. Anda melengkapkan satu kitaran pengecasan apabila anda telah menggunakan kadar yang mewakili 100 peratus daripada kapasiti bateri anda. Kitaran pengecasan lengkap dinormalkan antara 80 peratus hingga 100 peratus daripada kapasiti asal untuk mengambil kira kapasiti bateri yang dijangka berkurangan dari semasa ke semasa.
Dengan iPhone X dan lebih awal, anda mungkin melihat "Mesej Bateri Penting. iPhone ini tidak dapat menentukan kesihatan bateri.", bukannya Tidak Disahkan